[VIDEO] Tak puas hati punya pasal, pemandu sanggup rempuh berkali-kali kereta 'double park'


  • Benua
  • Khamis, 08 Feb 2024

Tangkap layar video memaparkan kereta hitam yang dirempuh pemandu terbabit di parkir sebuah kawasan di China pada Januari lalu.

MENGHALANG laluan di parkir sememangnya satu tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh seluruh pemilik kenderaan termasuk kereta, bas, lori atau motosikal.

Selain menghalang laluan, ia juga boleh menyusahkan pemilik kenderaan lain yang pada waktu itu berada dalam situasi kecemasan.

Bukan itu sahaja, tindakan tersebut juga boleh membangkitkan kemarahan sekali gus menjadi punca berlakunya kejadian tidak diingini seperti yang terjadi di sebuah kawasan di China pada Januari lalu.

BACA LAGI: Proton Saga ada vest polis 'double park' di Ipoh dicari, perakam gambar diminta tampil beri kerjasama

BACA LAGI: Cuma selisih 1-2 cm, warga Sentul bosan sedekad hadap 'double park' sesuka hati

Ketika itu, seorang pemandu kereta merempuh kenderaan lain yang menghalang laluannya di tempat parkir.

Menerusi video yang dimuat naik di Instagram @dandelion_transport, pemandu kereta terbabit dilihat cuba untuk keluar dari parkir namun dihalang sebuah kereta hitam di hadapannya.

Dalam video sama, pemandu berkenaan dilihat bertindak agresif dengan merempuh kereta di hadapannya beberapa kali sebelum berjaya keluar dan berlalu pergi dari kawasan itu.

Namun, apa yang mengejutkan adalah tindakan pemandu yang dianggap memakan diri kerana sanggup merosakkan keretanya sendiri ketika itu.

Pemandu tersebut juga dikatakan berkemungkinan berang terhadap pemilik kenderaan yang menghalang laluannya kerana dilihat terburu-buru untuk keluar.

Pada masa sama, pemandu terbabit juga mungkin marah dengan tindakan pemilik kenderaan terbabit yang tidak meninggalkan sebarang nombor telefon untuk dihubungi bagi mengalihkan kenderaan itu.

Bagaimanapun, punca kejadian tidak dinyatakan dan masih belum disahkan setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram