[VIDEO] Calon Timbalan Presiden Indonesia kena kecam buat aksi 'mencari jawapan'


  • Benua
  • Khamis, 08 Feb 2024

Dalam satu pusingan debat yang berlangsung pada 21 Januari lalu, Gibran (kanan) dikritik oleh rata-rata warganet ekoran sikapnya yang disifatkan agak sombong. — Agensi

MENGHAMPIRI tarikh 24 Februari 2024, kehangatan persaingan bagi Pilihan Raya Presiden (Pilpres) kini dilihat semakim mencapai ke kemuncak.

Kesemua calon yang bertanding kini mula memasuki fasa akhir dalam usaha mereka bagi menarik sokongan pengundi.

Selain daripada mengambil pendirian turun padang, mereka yang bertanding turut menggunakan pentas debat bagi menyakinkan lagi rakyat Indonesia sebelum mereka turun ke peti undi.

Bagaimanapun, dalam kerancakan tersebut, gelagat salah seorang calon Naib Presiden ketika acara debat menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial di Indonesia.

Individu yang dimaksudkan tidak lain dan bukan ialah anak kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) iaitu Gibran Rakabuming Raka.

Dalam satu pusingan debat yang berlangsung pada 21 Januari lalu, Gibran dikritik oleh rata-rata warganet ekoran sikapnya yang disifatkan agak sombong.

wali-kota-solo-gibran-rakabuming-raka-di-balai-kota-solo-senin-9102023_169

Calon Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka. — Agensi

BACA LAGI: [VIDEO] Mimik muka Prabowo, aksi bocah Gibran warnai sesi debat calon Presiden Indonesia

Ia selepas beliau dilihat secara keterlaluan seakan-akan merendah-rendahkan lawannya yang juga seorang lagi calon Naib Presiden, Mahfud MD ketika program berkenaan.

Ketika acara tersebut, kedua-dua pasangan calon berkenaan dilaporkan sedang membincangkan mengenai isu ekonomi hijau.

Pada ketika itu, Gibran, 36, yang merupakan pasangan calon Presiden yang ketika ini sedang mendahului, Prabowo Subianto turut mengemukakan terma bahasa Inggeris yang dikenali sebagai 'greenflation'.

Bagaimanapun, dia kemudiannya dilihat enggan untuk menjawab soalan pengacara yang memintanya untuk menterjemahkan istilah berkenaan.

Susulan daripada itu, Mahfud MD meneruskan perbincangan dengan menyatakan pendapatnya mengenai ekonomi hijau.

Mendengarkan pandangan yang diutarakan Mahfud, Gibran kemudian membeliakkan matanya, membongkok dan membuat isyarat memberi hormat seolah-olah dia sedang 'mencari jawapan'.

“Saya cari jawapan Profesor Mahfud, saya cari, mana ada? Saya tidak dapat mencarinya,” katanya.

'Greenflation' merujuk kepada potensi berlakunya kenaikan harga disebabkan penggunaan inisiatif mesra alam.

Pada masa sama, Gibran juga menyasarkan calon naib presiden ketiga Muhaimin Iskandar dengan menyindir lawannya kerana membaca nota semasa menjawab soalan moderator.

Sepanjang perdebatan itu, Gibran turut berulang kali mengejek dan memperlekehkan Mahfud MD dan Muhaimin, yang masing-masing merupakan calon naib presiden bagi parti pemerintah (PDIP) Ganjar Pranowo dan Anies Baswedan yang juga bekas gabenor Jakarta.

Selepas program debat tersebut, warganet d Indonesia tidak menunggu lama untuk melahirkan kritikan terhadap Gibran yang disifatkan sebagai produk hasil daripada amalan nepotisme.

Pada masa sama, anak lelaki sulung Jokowi juga disifatkan sebagai seorang yang 'sombong' sehingga ke tahap memalukan.

Dilaporkan, lebih separuh pengundi Indonesia yang berjumlah hampir 205 juta berumur antara 17 dan 35 tahun.

BACA LAGI: Jokowi dedah sebab pindah ibu negara ke Nusantara

Demografi berkenaan memberikan kelebihan kepada Gibran yang mendapat reaksi positif selepas penyertaannya ketika debat pertama antara calon naib presiden pada Disember lalu ketika dengan menentang ahli politik berpengalaman seperti Mahfud MD dan Muhaimin.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menyaksikan sokongan terhadap beliau sudah tidak memihak kepadanya menerusi satu analisis media sosial yang dilaksanakan.

Gibran menerima 60 peratus sentimen negatif, 33 peratus positif, dan 7 peratus neutral daripada pengguna media sosial yang memberikan respons terhadap program debat berkenaan.

Dapatan merupakan hasil daripada analisis oleh sebuah firma penyelidikan, Drone Emprit.

Pada sidang media selepas perbahasan, Gibran berkata, beliau menyerahkan kepada penonton untuk menilai sikap yang dipamerkannya ketika acara berkenaan.

“Sama ada ia menyinggung perasaan atau tidak, saya serahkan kepada penonton. Saya hanya bertukar idea, menyampaikan visi dan misi. Itu sahaja,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram