[VIDEO] Mimik muka Prabowo, aksi bocah Gibran warnai sesi debat calon Presiden Indonesia


  • Benua
  • Khamis, 14 Dis 2023

Debat calon Pilpres Indonesia 2024 berlangsung pada Selasal lalu dan disiarkan di televisyen umum di negara tersebut. — Agensi

POLITIK Indonesia ketika ini sedang hangat dengan proses berkempen bagi Pilihan Raya Presiden (Pilpres) yang akan berlangsung pada 24 Februari tahun depan.

Dalam tempoh tersebut, antara yang menjadi perhatian tentunya adalah acara debat yang memberikan ruang kepada semua calon untuk menonjolkan wawasan dan idea masing-masing.

Pada Pilpres kali ini, penyandang presiden, Joko Widodo (Jokowi) tidak bertanding semula setelah tempoh perkhidmatan dua penggalnya berakhir.

Tiga nama yang akan bersaing kali ini ialah jeneral tentera Prabowo Subianto, bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan.

Lebih menarik lagi, Subianto turut memilih anak sulung kepada Jokowi iaitu, Gibran Rakabuming sebagai rakan gandingan bagi calon Naib Presiden.

Menurut pendapat baharu oleh Indikator Politik Indonesia, Subianto pada November lalu berjaya meningkatkan kedudukannya berbanding pesaing terdekat selepas memilih Gibran sebagai gandingannya.

WhatsApp Image 2023-12-13 at 11.57.32 PM

Subianto (kiri) memilih Gibran sebagai gandingannya dalam saingan Pilpres 2024 yang akan berlangsung pada Februari tahun depan. — Agensi

Ini kerana populariti dimiliki Jokowi sememangnya masih berbekas dalam kalangan masyarakat Indonesia, yang merupakan negara ketiga demokrasi terbesar di dunia.

Sementara itu, pusingan pertama acara debat perdana Pilpres yang akan diadakan sebanyak lima siri membuka tirainya pada Selasa lalu.

Dalam perdebatan berlangsung selama dua setengah jam, antara isu yang disentuh adalah mengenai pelanggaran hak asasi manusia, konflik di Papua, masalah perundangan dan demokrasi.

Bagaimanapun, perdebatan yang agak sengit turut diwarnai dengan sindiran dilontarkan antara satu sama lain oleh ketiga-ketiga calon.

Kehangatan acara tersebut turut dirakam oleh menerusi siaran langsung di televisyen sehingga menyebabkan beberapa klip turut tular di sosial media.

Antara yang menarik perhatian adalah reaksi dipamerkan Subianto ketika Baswedan, salah seorang calon melontarkan kritikan terhadapnya.

Dalam klip tersebut, Baswedan dilihat menyindir Subianto sebagai seorang yang tidak mampu untuk berjuang sekiranya berada di blok pembangkang.

Sejurus kritikan tersebut disuarakan, Subianto dipaparkan menunjukkan mimik muka yang agak aneh dan ia turut menimbulkan persoalan dalam kalangan warganet.

"Eh, kenapa pak Prabowo ada reaksi aneh ya? Tanda apakah itu," tulis Muhammad Assaewad.

Untuk rekod, Subianto, 72, yang juga bekas pegawai tentera memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan di bawah pentadbiran Jokowi.

Sementara itu, turut menarik perhatian pada acara debat pusingan pertama itu ialah gandingannya sendiri iaitu Gibran.

Ia selepas pemimpin muda berusia 36 tahun itu memaparkan tindakan yang disifatkan agak kebudak-budakan apabila menyeru penonton untuk bersorak ketika Subianto berdebat.

Menurut warganet, perbuatan dipaparkan Gibran dalam satu video itu seolah-olah menunjukkan sikap sebenarnya yang masih belum agak matang.

"Calon Presiden Prabowo emosi ketika berdebat, sementara orang nombor duanya bersorak seperti budak-budak sekolah sampai harus ditegur pegawainya," ujar Davinaa Sastrosudiro.

Menjelang kira-kira dua bulan sebelum berlangsungnya Pilpres, tinjauan pendapat terkini yang dilakukan mendapati Subianto sedang mendahulu sebanyak 20 mata berbanding pesaing terdekatnya, Pranowo, 55. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram