Jokowi dedah sebab pindah ibu negara ke Nusantara


  • Benua
  • Rabu, 19 Jan 2022

KOS pemindahan pusat pentadbiran itu akan menelan belanja di bawah RM138 bilion. — Agensi

INDONESIA bakal menamakan ibu negara terbaharu mereka sebagai Nusantara selepas Parlimen negara itu meluluskan terhadap rang undang-undang untuk memindahkan ibu negara dari Jakarta ke tapak terpencil di pulau Borneo (Kalimantan).

Perkara itu didedahkan pegawai kanan kerajaan yang turut menyatakan nama Nusantara diterjemahkan sebagai kepulauan.

Menurut kata Menteri Perancangan Pembangunan Negara, Suharso Monoarfa, Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia meluluskan rang undang-undang pada Selasa untuk memindahkan ibu negara ke wilayah terpencil Kalimantan, di mana kerajaan sudah memiliki kira-kira 180,000 hektar tanah.

“Ibu kota baharu itu mempunyai fungsi pusat dan merupakan simbol identiti negara, serta pusat graviti ekonomi baharu,” katanya kepada Parlimen selepas rang undang-undang itu diluluskan.

Sementara itu, Presiden Joko Widodo mengesahkan bahawa ibu negara baharu itu akan dinamakan 'Nusantara' kerana ia 'ikon di peringkat antarabangsa' dan menggambarkan negara kepulauan itu.

Menurut Monoarfa, Widodo memilih nama 'Nusantara' daripada 80 nama yang diserahkan kepada beliau.

"Pemilihan nama itu turut dilakukan bersama ahli bahasa dan ahli sejarah, walaupun masih tidak jelas sama ada ibu kota baharu itu akan menjadi wilayah atau bandar," ujarnya.

Widodo pertama kali mengumumkan pemindahan ibu kota ke Borneo pada 2019, memetik fakta bahawa Jakarta dengan populasi 10 juta orang terdedah kepada banjir, kesesakan dan gempa bumi. Projek itu kemudiannya ditangguhkan kerana wabak Covid-19.

Katanya lagi, Presiden mendakwa bahawa kos pemindahan pusat pentadbiran itu akan menelan belanja di bawah $33 bilion (RM138 bilion), yang mana negeri akan membiayai 19 peratus, dengan selebihnya datang daripada perkongsian awam-swasta dan pelaburan swasta.

"Kos itu termasuk pejabat dan rumah kerajaan baharu untuk kira-kira 1.5 juta penjawat awam.

"Tapak ibu negara baharu yang terletak sejauh 2,000 kilometer dari timur laut Jakarta, merupakan antara wilayah yang paling tidak terdedah kepada bencana alam yang kerap melanda kepulauan dengan 17,000 pulau itu," tambahnya lagi

Menurtu Widodo juga terdapat sebab ekonomi dan politik untuk memindahkan ibu negara dari Jakarta, yang merupakan rumah kepada 54 peratus daripada 260 juta penduduk Indonesia dan menjana 58 peratus daripada keluaran dalam negara kasar.

Namun begitu, pencinta alam sekitar bimbang tindakan itu akan mempercepatkan kemusnahan hutan yang menjadi rumah kepada orang utan, beruang matahari dan monyet hidung panjang, serta meningkatkan pencemaran yang sudah semakin meningkat akibat daripada perlombongan arang batu dan pengeluaran minyak sawit.

"Langkah itu akan memberi kesan kepada alam sekitar.

“Jakarta mengalami banyak kegagalan akibat pencemaran, krisis air dan banjir. Kami tidak mahu masalah ini berlaku di ibu negara baharu," kata juru kempen kanan hutan Greenpeace, Jasmine Puteri. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram