DATUK Seri Anwar Ibrahim yang dikenal luas oleh rakyat Indonesia di semua peringkat, menjadi modal besar untuk mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia yang terjalin sejak lama.
Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) dalam perutusan tahniah kepada Perdana Menteri yang genap setahun memimpin negara pada Jumaat, menyambut baik dasar diterapkan Anwar dalam mendukung pembangunan pemikiran kritis dan kebebasan kewartawanan.
"Ini sejajar dengan penegasan Perdana Menteri semasa Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Ipoh, Perak Mei lepas, yang sentiasa menyokong peranan wartawan, bukan sekadar perakam idea, sebaliknya pencetus idea yang berdasarkan nilai.
"Komitmen dan keyakinan Perdana Menteri itu memberi ruang kepada wartawan untuk memikul tanggungjawab dan amanah ini dengan sebaiknya,” katanya.
Kenyataan perutusan itu ditandatangani oleh Presiden ISWAMI Malaysia, Datuk Mokhtar Hussain dan Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan.
Menurut kenyataan itu, ISWAMI juga menyokong hasrat penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) bagi kawal selia lebih baik serta meningkatkan taraf profesion kewartawanan.
"Moga ia diutamakan supaya segera menjadi kenyataan. Penubuhan MMM antaranya boleh membina minda masyarakat yang kental (dalam) hadapi ancaman digital mahupun yang berbentuk subversif,” katanya.
ISWAMI turut mengucapkan tahniah dan selamat kepada Anwar atas pencapaian setahun memimpin Malaysia.
ISWAMI yang didirikan para wartawan senior Indonesia-Malaysia pada 2005, terus berupaya menjambatani rakyat kedua negara melalui informasi, kesefahaman, dan jalinan persahabatan Malaysia-Indonesia.
Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November 2022, lima hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri serta 28 ahli Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan pada 2 Disember 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram