[VIDEO] Pajero hilang kawalan, 3 cedera rempuh Jambatan Yayasan Sabah sebelum terjunam


  • Tular
  • Selasa, 05 Dis 2023

Tangkap layar kejadian kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Mitsubishi Pajero yang terjunam di Jambatan Yayasan Sabah, Kota Kinabalu pada Selasa.

SEBUAH kereta jenis Mitsubishi Pajero terlibat dalam kemalangan di Jambatan Yayasan Sabah, Kota Kinabalu pada Selasa.

Pada awalnya, pemandu kereta terbabit difahamkan dalam perjalanan dari arah Sepanggar, Sabah menuju ke Kota Kinabalu.

Namun tiba-tiba, pemandu itu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pagar jambatan yang diletakkan di kawasan itu sebagai penghadang.

Lebih malang, selepas itu kereta berkenaan terjunam ke dasar jambatan dalam keadaan berguling sehingga mengakibatkan kereta mangsa terbalik.

Turut dilihat, cermin kereta terbabit pecah dan kereta itu mengalami kerosakan teruk di bahagian depan.

Menurut seorang lelaki menerusi rakaman video tular, terdapat tiga orang mangsa yang mengalami kecederaan parah di tangan dan kaki.

Ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan bagi menerima rawatan lanjut.

Dalam pada itu, kejadian turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas sehingga Pasukan Polis Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu terpaksa mengawal keadaan lalu lintas.

Setakat berita ini ditulis, belum ada kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung isu itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram