AMERIKA Syarikat (AS) dan Britain mula melancarkan serangan udara dan laut terhadap sasaran tentera Houthi di Yaman sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal perdagangan negara Barat di Laut Merah.
Perkembangan itu merupakan meningkatkan lagi ketegangan di rantau tersebut selepas tercetusnya perang Israel-Hamas di Gaza.
Saksi yang berada di Yaman mengesahkan berlakunya letupan di seluruh negara kepada Reuters.
Presiden AS, Joe Biden memberi amaran dalam satu kenyataan pada Khamis bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya perlu.
"Serangan yang disasarkan ini adalah mesej jelas bahawa AS dan sekutu kami tidak akan bertolak ansur dengan serangan ke atas rakyat kami atau membenarkan pihak yang bermusuhan menjejaskan kebebasan di laluan perdagangan tersebut," kata Joe.
Kementerian pertahanan Britain dalam satu kenyataan berkata, tindakan Houthi mengancam keselamatan kapal perdagangan di Laut Merah telah mendapat tamparan hebat.
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, dalam satu kenyataan berkata, serangan itu menyasarkan kepada kemudahan ketenteraan Houthi termasuk dron, peluru berpandu balistik dan kapal, radar serta pengawasan udara.
Seorang pegawai Houthi mengesahkan mengenai "serangan" di ibu negara Sanaa bersama-sama dengan bandar Saada dan Dhamar serta di wilayah Hodeidah.
Beliau turut menyifatkan serangan tersebut sebagai pencerobohan oleh pakatan Amerika-Zionis-British.
Saksi memberitahu Reuters bahawa serangan itu menyasarkan pangkalan tentera bersebelahan dengan lapangan terbang Sanaa, iaitu kem tentera yang terletak berhampiran lapangan terbang Taiz yang menjadi pangkalan tentera laut Houthi di Hodeidah dan kawasan ketenteraan di wilayah Hajjah.
BREAKING:
First videos of the U.S. airstrikes against the Houthis in Yemen pic.twitter.com/dAr4ABYMYV
— Visegrád 24 (@visegrad24) January 11, 2024
Serangan yang berterusan itu adalah salah satu operasi paling dramatik konflik Asia Barat selepas tercetusnya perang Israel-Hamas pada Oktober lalu
AS sebelum itu bagaimanapun berkata, tindakan tersebut tidak bertujuan meningkatkan ketegangan yang berlaku.
Seorang pegawai AS yang enggan namanya disiarkan berkata, serangan itu dilaksanakan melalui pesawat, kapal laut dan kapal selam.
Pegawai itu berkata, lebih daripada sedozen lokasi menjadi sasaran dan serangan itu dibuat bertujuan bukan semata-mata sebagai simbolik, tetapi bagi melemahkan keupayaan tentera Houthi.
"Matlamat serangan ini sangat jelas dari awal seperti yang dinyatakan Presiden, ia adalah untuk menghapuskan keupayaan untuk Houthi menyasarkan kapal maritim, sama ada kapal komersial atau tentera," kata seorang lagi pegawai kanan tentera AS.
Houthi, yang menguasai sebahagian besar Yaman, mengingkari seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan antarabangsa lain untuk menghentikan serangan peluru berpandu dan dron mereka di laluan perkapalan Laut Merah.
Amerika Syarikat turut mengingatkan kumpulan tersebut mengenai akibat yang bakal berlaku jika mereka gagal berbuat demikian.
Houthi bagaimanapun berkata, serangan dibuat adalah sebagai tanda sokongan mereka terhadap Hamas.
Israel melancarkan serangan ketenteraan yang telah membunuh lebih 23,000 rakyat Palestin di Gaza selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober, yang mengakibatkan 1,200 orang mati dan 240 diculik.
Sejak akhir Disember lalu, Houthi telah menyerang 27 kapal, mengganggu perdagangan antarabangsa di laluan utama antara Eropah dan Asia yang menyumbang kira-kira 15 peratus daripada trafik perkapalan dunia.
Houthi, yang merampas sebahagian besar Yaman dalam perang saudara, berikrar untuk menyerang kapal yang dikaitkan dengan Israel atau menuju ke pelabuhan Israel.
Bagaimanapun, banyak kapal yang disasarkan tidak mempunyai kaitan dengan Israel.
Pemimpin Houthi pada Khamis berkata, sebarang serangan AS ke atas kumpulan itu tidak akan berakhir tanpa tindak balas.
Sebelum itu pada Disember lalu, lebih daripada 20 negara bersetuju untuk mengambil bahagian dalam pakatan yang diketuai AS, dikenali sebagai Operation Prosperity Guardian bagi melindungi laluan perdagangan di Laut Merah.
Namun, serangan terbaharu yang sedang dilakukan AS dan British dilaporkan berlaku di luar kawassan yang dipersetujui pakatan pertahanan tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram