Selain isu Palestin, 2 lagi perkara boleh jadi tumpuan Malaysia di pentas APEC 2023 


  • Massa
  • Rabu, 08 Nov 2023

Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke Minggu Pemimpin APEC 2023 yang diadakan di San Francisco, AS. — Gambar hiasan

TEKA-TEKI mengenai penyertaan Malaysia ke persidangan Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 akhirnya terjawab pada Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa beliau akan hadir ke persidangan tersebut yang akan diadakan di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) yang bermula hujung minggu ini.

Keputusan itu dibuat ketika terdapat desakan supaya Malaysia dan beberapa negara lain memboikot perjumpaan tersebut.

Ia susulan daripada pendirian beberapa negara utama anggota APEC antaranya seperti AS dan Kanada yang menyokong dan menyebelahi Israel dalam krisis kemanusiaan sedang berlaku di Palestin ketika ini.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Anwar dalam kenyataannya menegaskan Malaysia masih tidak berganjak dalam pendiriannya dalam mempertahankan keadilan dan perjuangan rakyat Palestin.

General view of the 33rd APEC Ministerial Meeting (AMM) plenary session, during the APEC summit in Bangkok, Thailand November 17, 2022. REUTERS/Chalinee Thirasupa/Pool

APEC merupakan forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 untuk memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin meningkat di Asia-Pasifik. — Gambar hiasan

Beliau berkata, penyertaan ke sidang yang berlangsung dari 11 hingga 17 November itu dilakukan bagi menjaga kepentingan negara daripada pelbagai sudut meliputi hubungan diplomatik, keselamatan dan ekonomi.

Untuk rekod, APEC merupakan forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 untuk memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin meningkat di Asia-Pasifik.

Kesemua 21 ekonomi negara anggota APEC menyumbang sekitar 40 peratus daripada populasi global, hampir 50 peratus daripada perdagangan global dengan lebih 60 peratus daripadanya membabitkan eksport barangan AS.

Selain Malaysia, anggota lain menyertai APEC termasuk Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam.

Berikut Majoriti kongsikan tiga membabitkan Malaysia pada persidangan APEC kali ini:

1. Isu Palestin mungkin jadi perhatian

Flames and smoke rise during Israeli air strikes amid a flare-up of Israel-Palestinian violence, in the southern Gaza Strip May 11, 2021. REUTERS/Ibraheem Abu Mustafa

Wujud desakan supaya Malaysia dan beberapa negara lain memboikot perjumpaan APEC kali ini sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.

Meskipun APEC merupakan persidangan yang tertumpu terhadap isu ekonomi dan perdagangan, ia dilihat turut boleh menjadi platform bagi menyuarakan desakan terhadap krisis yang berlaku di Palestin ketika ini.

Pakar politik dan hubungan antarabangsa, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, perkara tersebut berpotensi ditimbulkan kerana ia berkemungkinan memberi kesan terhadap ekonomi dunia secara umumnya.

"Kita tahu sekiranya peperangan yang berlaku ini merebak ke negara Timur Tengah yang lain, ia mampu menjejaskan ekonomi dunia. Sama seperti apa yang berlaku di Ukraine," katanya yang juga Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM).

Disebabkan itu, Mohd Azizuddin berpandangan platform APEC itu sememangnya mampu menjadi platform negara tertentu bagi mendesak negara kuasa besar seperti AS agar menyokong segera gencatan senjata di Palestin.

Selain Malaysia, terdapat beberapa anggota APEC menyatakan sokongan terbuka terhadap Palestin dan ia turut membabitkan negara kuasa besar dunia seperti China.

2. Platform tarik pelaburan langsung asing, perkukuh ringgit

2129012

Peningkatan FDI dilihat bakal memacu kepada pertumbuhan ekonomi negara dan seterusnya memulihkan kedudukan nilai ringgit Malaysia. — Gambar hiasan

Sementara itu, Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir menyifatkan pentas APEC sebagai platform terbaik untuk Malaysia bagi mencari peluang meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.

Berbanding lawatan kerja dilakukan Anwar ke beberapa buah negara sebelum ini, beliau menyifatkan persidangan multilateral seperti ini dilihat menawarkan potensi pelaburan lebih pelbagai dan menyeluruh.

"Di APEX ini lebih banyak negara yang terlibat. Jadi akan ada banyak perjanjian sama ada multilateral mahupun bilateral dapat dilaksanakan. Jadi di situ kelebihannya," katanya.

Salawati menambah, Malaysia ketika ini sangat memerlukan kepada kemasukan FDI yang lebih tinggi terutamanya dalam usaha bagi mengukuhkan kembali nilai mata wang ringgit negara.

Untuk tujuan tersebut, beliau berkata, delegasi Malaysia yang hadir ke APEC perlu menonjolkan keupayaan negara menawarkan suasana perniagaan yang kondusif kepada pelabur.

"Antara yang penting tentunya untuk menjelaskan bagaimana kerajaan menangani red-tape (birokrasi) yang wujud.

"Jadi itu yang kerajaan kena beritahu kepada pelabur untuk yakinkan mereka," kata Salawati.

Untuk rekod, Pada April lalu, bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkongsikan kebimbangannya berhubung tahap kemasukan FDI negara yang menurutnya tidak menampakkan perkembangan selari dengan peratusan ingin direalisasikan.

Bagi tempoh 2018 sehingga 2021, jumlah FDI diluluskan dilaporkan bernilai RM392.9 bilion atau 76.5 peratus telah berjaya direalisasikan dengan sebahagian melibatkan sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut, 23.5 peratus daripadanya tidak direalisasikan membabitkan sejumlah RM92,339 juta dalam tempoh dari 2018 hingga 2021.

3. Perang dagang AS, China

FILE PHOTO: U.S. President Joe Biden meets with Chinese President Xi Jinping on the sidelines of the G20 leaders' summit in Bali, Indonesia, November 14, 2022. To match Special Report US-CHINA-TECH/CABLES REUTERS/Kevin Lamarque/File Photo

Jinping (kiri) dan Biden dijangka mengadakan pertemuan dua hala di luar sidang APEC kali ini. — Agensi

Seperti diketahui, hubungan antara dua negara ekonomi terbesar dunia AS dan China dilaporkan berada di tahap terburuk sejak lebih hampir dua dekad lalu.

Ketegangan itu bermula selepas AS dilaporkan menjadi antara negara terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19 yang dikatakan bermula daripada China.

Pada masa sama, situasi yang dilihat berterusan sehingga kini itu juga dilihat disumbangkan oleh beberapa pertelagahan membabitkan kedua-dua negara dalam beberapa isu termasuk perkara melibatkan kedaulatan Taiwan.

Keadaan tersebut menyebabkan negara di seluruh dunia sentiasa berada dalam mod berwaspada terhadap kemungkinan risiko memuncaknya ketegangan perdagangan antara AS dan China.

K014078

Salawati menyifatkan pentas APEC sebagai platform terbaik untuk Malaysia bagi mencari peluang meningkatkan FDI ke dalam negara. — UKM

Disebabkan itu, pentas APEC kali ini dilihat bakal turut menjadi platform untuk mencipta kemungkinan berlangsungnya pertemuan antara kedua-dua pemimpin negara tersebut.

Malah, Presiden AS, Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping dijangka mengadakan pertemuan dua hala di luar sidang kemuncak berkenaan.

Mengulas mengenai isu tersebut, Salawati berpandangan Malaysia tidak seharusnya risau terhadap sebarang kemungkinan berlaku antara kedua-dua negara tersebut pada persidangan kali ini.

"Saya rasa kita tidak perlu risau di sini sebabnya China hanya merupakan rakan dagang dalam kalangan negara APEC. Jadi tidak wujud pertelagahan antara (kebanyakan) negara anggota bersama China," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram