PAS, PN anjur himpunan aman solidariti Palestin pada 13 Oktober


  • Politik
  • Selasa, 10 Okt 2023

Perhimpunan yang bertemakan 'Selamatkan Masjidil Aqsa' itu akan diadakan di hadapan Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 13 Oktober selepas solat Jumaat.

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) bersama Perikatan Nasional (PN) menganjurkan perhimpunan aman pada 13 Oktober (Jumaat) susulan konflik yang sedang hangat berlaku antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza yang terletak di Timur Tengah sejak Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi berkata, perhimpunan yang bertemakan 'Selamatkan Masjidil Aqsa' itu akan diadakan di hadapan Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat.

“Peperangan di Timur Tengah itu melambangkan kebangkitan Islam di Palestin yang dipenjarakan di negara sendiri oleh Zionis, dianiaya dan diseksa termasuk pencerobohan ke dalam Masjid Al-Aqsa.

"Beratus nyawa telah terkorban dan beribu-ribu cedera dalam perang yang berlaku, majoritinya adalah wanita, kanak-kanak dan warga emas.

"Jadi, kita tidak boleh berdiam diri dalam masa yang memerlukan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

“PAS menyeru seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia untuk datang ke Masjid Negara bagi menunjukkan solidariti bersama rakyat Palestin.

“Marilah kita sejiwa tanpa sekatan kaum atau agama, warna kulit atau penjajaran politik dan menunjukkan solidariti sesama manusia,” tambah Afnan.

Pada Sabtu, Briged Al-Qassam yang merupakan sayap kanan Ḥarakat al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) melakukan serangan mengejut terhadap Israel dan mengumumkan permulaan operasi Taufan Al-Aqsa.

Serangan yang dilakukan itu juga adalah sebagai respons atau tindak balas terhadap semua kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap seluruh warga Palestin selama beberapa dekad lalu.

Setakat ini, angka korban akibat konflik kedua-dua pihak meningkat kepada 1,300 orang dengan lebih 900 pendatang Israel dan kira-kira 770 warga Palestin yang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran itu. — The Star/R.Sekaran

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram