PEMIMPIN Houthi Yaman memberi amaran akan menyerang kapal perang Amerika Syarikat (AS) jika mereka dijadikan sasaran ketenteraan.
Ia susulan tindakan Washington menubuhkan pasukan multinasional untuk menangkis serangan pejuang Houthi membuat sekatan ke atas kapal komersial yang mempunyai kaitan dengan Zionis di Laut Merah.
Pemimpin Houthi, Abdel-Malek Al-Houthi berkata, mereka tidak akan berdiam diri tetapi melancarkan perang jika AS bakal mengenakan sekatan lebih dahsyat.
Tentera gabungan Barat telah menghabiskan masa berminggu-minggu untuk cuba menghalang Houthi yang sebaliknya menyatakan ancaman itu bukan sesuatu yang baru.
Ketua perunding Houthi, Encik Mohammed Abdusalam, memberi amaran dengan berkata bahawa jika Amerika secara langsung menyerang Yaman, ia boleh mengubah perang di Gaza kepada konflik antarabangsa yang lebih luas.
“Pendirian Yaman adalah jelas,” kata Encik Abdullah Ben Amer, seorang pegawai kanan Houthi.
“Serangan Houthi di Laut Merah akan berhenti apabila perang Israel terhadap penduduk Gaza ditamatkan,” katanya.
Kata-kata itu mengulangi pendirian militia yang disokong Iran sejak perang di Gaza bermula dua bulan lalu apabila serangan Hamas di selatan Israel telah membunuh kira-kira 1,200 orang dan tindak balas Israel menerusi pengeboman di Gaza telah mengorbankan sekitar 20,000 rakyat Palestin.
Perang itu telah mencetuskan kemarahan di seluruh Timur Tengah terhadap Israel dan Amerika, sekutu utamanya, tetapi meningkatkan populariti mereka.
Houthi melancarkan dron dan peluru berpandu di selatan Israel dan berjanji untuk menyekat semua kapal yang melakukan perjalanan ke pelabuhan Israel menerusi Selat Bab al-Mandab, Yaman, yang menjadi titik utama bagi perdagangan global.
Kebanyakan serangan mereka telah digagalkan, namun bulan lalu mereka merampas kapal komersial dan meneruskan menyerang kapal Norway dengan peluru berpandu pada bulan ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram