SEKURANG-KURANGNYA empat orang dilaporkan terbunuh, manakala 28 lagi cedera selepas dua kereta api penumpang bertembung di Jawa Barat, Indonesia pada Jumaat.
Nahas melibatkan kereta api Turangga dan tren Greater Bandung Commuter Line itu berlaku di laluan Cicalengka-Haurpugur sekitar pukul 6.03 pagi (waktu tempatan).
Dalam perkembangan terbaru, Presiden Kereta Api Indonesia (KAI) Didiek Hartantyo berkatanya, pihaknya masih lagi menyiasat punca sebenar kejadian itu berlaku.
"Pihak kami masih lagi menunggu hasil siasatan penuh dan punca kemalangan masih belum lagi dikenal pasti," katanya ketika ditemui wartawan di lokasi kejadian.
Agensi berita AFP melaporkan, seramai 287 penumpang menaiki kereta api Turangga, manakala 191 yang lain berada di dalam tren komuter ketika kejadian.
Tabrakan kereta api Turangga vs KRD lokal 5 Januari 2024 Cicalengka kab.bandung pukul 6.20 pagi semoga tidak banyak korban jiwa amin#tabrakankeretabandung pic.twitter.com/ecjF9qgoQ4
— Gilang gkfc (@gilanggkfc) January 5, 2024
BACA LAGI : Lelaki maut, seorang lagi masih tertimbus runtuhan kuari Bandar Saujana Putra
Ketua perhubungan Awam Polis Wilayah Jawa Barat, Ibrahim Tompo berkata, mayat dua daripada mangsa yang maut telah dibawa ke hospital, namun dua mayat lain masih terperangkap di lokasi kejadian.
“Dua mayat sudah dipindahkan iaitu pemandu kereta api dan pembantunya. Dua lagi mayat sedang dikeluarkan iaitu seorang kakitangan, manakala identiti mangsa keempat belum diketahui.
“Data mengenai jumlah mangsa yang cedera masih dikumpulkan, namun pihak kami merekodkan seramai 28 mangsa cedera dipindahkan ke Hospital Wilayah Cicalengka,” katanya.
Ketua Pejabat Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Bandung, Hery Marantika berkata, pihaknya mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana ruang yang sempit. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram