Masalah kewangan punca tikam mati majikan di Taman Rasi Jaya, pekerja ada 4 rekod jenayah


  • 112
  • Khamis, 04 Jan 2024

Seorang wanita maut manakala teman lelakinya cedera dalam kejadian pergaduhan di sebuah kedai di Taman Rasi Jaya pada Khamis.

MASALAH kewangan dipercayai punca seorang pekerja bertindak nekad menikam majikan wanita dalam kejadian di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Rasi Jaya, Menglembu dekat Ipoh, Perak pada Khamis.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, berlaku perselisihan faham antara wanita berusia 49 tahun itu dengan suspek berusia 54 tahun sebelum lelaki terbabit bertindak menikam mangsa.

Beliau dilaporkan berkata, mangsa yang juga pengusaha kedai aksesori telefon bimbit itu maut di lokasi kejadian dan pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam pada pukul 10.55 pagi.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati, mangsa yang maut merupakan seorang wanita warga tempatan manakala seorang lelaki dipercayai teman lelakinya berusia 42 tahun pula cedera,” katanya pada Khamis.

BACA LAGI : [VIDEO] Anggota JPJ cedera makan penumbuk kelindan lori baran

Mohd. Yusri berkata, dalam kejadian itu, suspek turut mengalami kecederaan dan berjaya diberkas polis dan siasatan lanjut mendapati suspek memiliki empat rekod jenayah lampau.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Terdahulu, The Star melaporkan seorang wanita ditemukan maut dipercayai ditikam pekerjanya di sebuah kedai di Taman Rasi Jaya.

Mangsa yang maut dipercayai wanita warga tempatan dikenali sebagai Lee Siew Lean, 40, pemilik kedai berkenaan.

Dua lelaki dipercayai rakan kongsi dan pekerja mangsa turut cedera dalam kejadian yang berlaku Itu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram