[VIDEO] Pesawat kecil terhempas di AS, senator sefamili terkorban


  • Benua
  • Selasa, 03 Okt 2023

Keadaan pesawat kecil selepas terhempas di sebuah kawasan terpencil di negeri Utah, AS pada Ahad. — Agensi

SERAMAI empat orang terbunuh dalam kemalangan sebuah pesawat kecil di negeri Utah, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad malam, kata pihak berkuasa pada Isnin.

Pejabat Sheriff Grand County berkata, pesawat ringan itu terhempas di kawasan terpencil sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Wilayah Canyonlands di Moab yang terletak di sebuah bandar di timur Utah.

"Tragiknya, juruterbang pesawat iaitu Senator Negeri Dakota Utara Doug Larsen, isterinya dan dua anak mereka terkorban dalam kemalangan itu," menurut Pejabat Sheriff dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa pesawat enjin tunggal Piper PA-28 terhempas kira-kira pukul 8.20 malam waktu tempatan pada Ahad.

Gabenor Dakota Utara, Doug Burgum dalam satu kenyataan pada petang Isnin berkata, beliau sangat sedih dengan kehilangan yang memilukan itu iaitu Senator Doug Larsen, isterinya Amy dan kedua-dua anak lelaki mereka.

Sementara itu, FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) akan menyiasat nahas itu dan NTSB akan mengendalikan penyiasatan itu. — The Star/Gao Shan

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram