[VIDEO] Insiden tular helikopter bertembung di Australia kejadian awal tahun


  • Benua
  • Khamis, 30 Nov 2023

Tangkap layar dua helikopter bertembung di Brisbane, Australia yang tular pada Khamis.

TULAR satu video memaparkan nahas dua helikopter bertembung di luar negara pada Khamis.

Melalui video yang dimuatnaik menerusi laman X (dahulu dikenali Twitter), @crazyclipsonly kejadian itu dirakam oleh salah seorang penumpang helikopter berkenaan.

Dalam rakaman itu, kelihatan mangsa yang berada dalam helikopter tersebut sedang menikmati permandangan sebelum salah seorang daripada penumpang menyedari sebuah lagi helikopter menghampiri mereka.

Namun, juruterbang kenderaan udara itu tidak sempat mengelak menyebabkan kedua-dua helikopter bertembung.

Hasil semakan Majoriti, perisitiwa itu berlaku pada 2 Januari lalu dan video tersebut ditularkan semula di beberapa platform media sosial.

Memetik laporan media antarabangsa, CNN dalam kejadian ngeri itu mengorbankan empat nyawa manakala tiga yang lain cedera parah di sebuah lokasi pelancongan popular di Brisbane, Australia.

Nahas itu berlaku sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan) berhampiran Main Beach di Gold Coast, selatan Brisbane.

“Dua helikopter tersebut bertembung dan terhempas di tebing pasir tidak jauh dari Sea World Resort,” kata pegawai polis bertugas untuk wilayah tenggara, Gary Worrell.

Siasatan awal mendapati bahawa sebuah helikopter berlepas manakala sebuah lagi sedang mendarat ketika pelanggaran berlaku.

Sementara itu, pegawai daripada Perkhidmatan Ambulans Queensland, Jayney Shearman berkata, 13 orang berada di dalam dua helikopter itu ketika ia bertembung.

Daripada jumlah itu, empat meninggal dunia, tiga mengalami kecederaan parah dan enam cedera ringan.

Semua mangsa yang cedera pula dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram