[VIDEO] Juruterbang jet pejuang, jurukamera TV maut nahas 2 pesawat berlanggar di udara


  • Benua
  • Ahad, 19 Nov 2023

Tangkap layar video memaparkan dua pesawat ketika melakukan penerbangan sebelum berlanggar di Australia pada Ahad.

DUA pesawat yang pernah digunakan tentera berlanggar di udara semasa latihan penerbangan pada Ahad di Semenanjung Mornington di tenggara Australia, menyebabkan satu daripada pesawat itu terjunam ke laut, lapor agensi memetik media tempatan.

Pesawat itu terhempas di laut di Port Phillip kira-kira 12 kilometer (km) dari pantai Mount Martha manakala satu lagi pesawat selamat mendarat di Essendon.

Nahas itu berlaku pada 1.45 tengah hari waktu tempatan (2.45 waktu Malaysia), lapor The Herald Sun.

Misi mencari dan menyelamat masih dijalankan di perairan di Mount Martha yang terletak kira-kira 50 km tenggara Melbourne.

Pihak berkuasa maritim Australia (AMSA) mengesahkan setiap jet pejuang ringan Viper S-211 Marchetti itu dinaiki dua orang.

Pada masa sama, seorang juruterbang dan seorang jurukamera yang pernah bekerja di beberapa rancangan televisyen terkenal turut dilaporkan berada di dalam pesawat yang terhempas ke dalam laut ketika kemalangan.

Dalam pada itu, serpihan pesawat seperti tayar, suar dan cebisan berwarna oren dikatakan telah dikesan terapung di permukaan laut selepas kemalangan berlaku.

Difahamkan, dua pesawat berkenaan sedang melakukan penerbangan formasi sebelum berlanggar.

Sementara itu, polis dilaporkan akan meneruskan misi pencarian dua mangsa itu sehingga malam Ahad. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram