[VIDEO] Doktor tumbuk kepala nenek 82 tahun tak duduk diam waktu bedah mata


  • Benua
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Video mengenai insiden tersebut tular di media sosial sejak minggu ini dan mencetuskan kemarahan orang ramai. — Agensi

PIHAK berkuasa China sedang menyiasat sebuah hospital susulan berlakunya insiden seorang pakar bedahnya yang didakwa menumbuk pesakit ketika operasi pembedahan.

Kejadian itu dirakam dalam klip yang tular di media sosial China pada minggu ini sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai di platform media sosial.

Kumpulan induk hospital terbabit, Aier China, dilapor sudah menggantung perkhidmatan pakar bedah terlibat dan memecat ketua pegawai eksekutif hospital di tempat kejadian itu berlaku pada 2019.

BBC sudah menghubungi Aier China untuk mendapatkan komen.

Menerusi video terbabit, pakar bedah terbabit dilihat menumbuk kepala pesakit sekurang-kurangnya tiga kali semasa proses pembedahan mata.

Aier China, yang mengendalikan rangkaian hospital mata berkata, kejadian itu berlaku semasa satu operasi pembedahan di hospitalnya di Guigang, sebuah bandar di barat daya China.

Pesakit adalah seorang wanita berusia 82 tahun dan "semasa pembedahan, pesakit didapati menghadapi isu ekoran bius yang diberikan".

Situasi itu menyebabkan pesakit menggerakkan kepala dan bola matanya beberapa kali.

Memandangkan pesakit hanya boleh bertutur dalam dialek tempatan dan kelihatan tidak bertindak balas kepada arahan diberikan doktor dalam bahasa Mandarin, kenyataan itu memaklumkan pakar bedah tersebut bertindak "merawat pesakit secara kasar dalam keadaan kecemasan".

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan pesakit itu mengalami lebam di dahinya akibat daripada perbuatan pakar bedah berkenaan.

Selepas pembedahan, pihak pengurusan hospital dilapor meminta maaf dan membayar pampasan sebanyak 500 yuan (RM325), menurut anak lelaki pesakit yang bercakap kepada media tempatan.

Dia juga berkata, ibunya kini buta di mata kirinya, walaupun tidak jelas sama ada ia berpunca daripada kejadian itu.

Aier China berkata, pihak hospital gagal melaporkan kejadian itu kepada ibu pejabat.

Pada Khamis ia mengumumkan pemecatan Ketua Pegawai Eksekutif hospital Guiyang dan menggantung perkhidmatan pakar bedah tersebut kerana "pelanggaran serius peraturan kumpulan", termasuk kesalahan lain tidak dinyatakan.

Walaupun kejadian itu berlaku pada Disember 2019, ia hanya mendapat perhatian orang ramai minggu ini selepas seorang doktor terkenal China, Ai Fen, berkongsi rakaman CCTV mengenai pembedahan itu.

Dr Ai, yang merupakan antara sekumpulan doktor yang memaklumkan orang ramai tentang penyebaran wabak Covid-19 di Wuhan, menyiarkan klip itu di akaun Weibo yang mempunyai lebih daripada dua juta pengikut.

Dr Ai terlibat dalam pertikaian undang-undang dengan Aier China sejak 2021 apabila dia pergi untuk pembedahan di salah sebuah hospital mereka.

Dia mendakwa hampir buta sebelah mata kerana operasi di hospital tersebut, namun Aier China menafikan dakwaan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram