[VIDEO] Akibat kecuaian hospital, ibu muda dan bayi meninggal selang 15 minit


  • Benua
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan ahli keluarga mangsa yang bersedih di hospital di Indonesia pada Selasa.

SEORANG wanita tidak dapat menahan kesedihan apabila menjadi saksi kematian anak saudara dan bayi yang baru lahir akibat kecuaian pihak hospital di Indramayu, Indonesia pada Selasa.

Kematian mangsa, Kartini, 23, dan bayi yang baru sahaja dilahirkan dikatakan berpunca daripada tindakan kakitangan Hospital Peronda MA Sentot Indramayu yang mengabaikan keadaan mangsa ketika itu.

Menurut suami mangsa, Tarsun, 30, dia sekeluarga pada awalnya sudah tidak berasa selesa dengan sikap kakitangan hospital berkenaan yang kurang mesra dan tidak peka ketika merawat pesakit.

Katanya, isterinya hanya menerima layanan dua hingga tiga jam sebelum bersalin dan pihak hospital memberi alasan bahawa ia masih dalam fasa awal kelahiran kerana bukaan belum besar.

"Apabila kami tiba tidak diuruskan dengan cepat dan hanya ambil masa yang singkat sangat ketika uruskan proses bersalin isteri.

"Isteri saya baru dilayan sekitar pukul 9 malam selepas keadaannya yang sudah tidak tahan sakit untuk melahirkan," katanya.

Tarsun berkata, dia juga meluahkan rasa kecewa terhadap layanan yang diterima daripada pihak hospital ketika kejadian.

Tambahnya, darah memancut keluar daripada kemaluan mangsa dan ia berlaku lebih teruk apabila kepala bayi sudah separuh keluar.

"Ketika itu, tali pusat bayi terus dipotong sehingga menyebabkan anak pertama saya yang baru lahir meninggal dunia.

"Mereka juga menarik kepala bayi dengan kasar dan perut isteri saya ditekan. Anak saya meninggal dahulu manakala isteri saya meninggal selang 15 minit kemudian," dakwanya lagi.

Pada masa sama, suasana hiba itu turut meraih perhatian selepas sebuah video memaparkan jasad mangsa yang berada di atas katil hospital itu.

Dalam video tersebut, kedengaran suara tangisan kuat daripada seorang wanita, Suti yang merupakan ibu saudara mangsa di dalam bilik hospital itu.

Menurut penjelasan Suti, selain daripada layanan buruk, rawatan yang dilakukan oleh tiga orang kakitangan perubatan juga tidak bagus.

"Pada awalnya, kemaluan si ibu bengkak dan dia juga sudah lemah. Jadi saya beritahu mereka untuk segera buat pembedahan sahaja kerana kasihan.

"Namun, mereka tidak bersetuju dan tetap memaksa mangsa agar melahirkan secara normal," katanya.

Tidak sanggup melihat keadaan mangsa yang dalam kesakitan itu, Suti berkata, dia membuat keputusan untuk keluar dari ruangan tersebut tetapi tetap ditemani oleh ahli keluarga lain.

Sementara itu, Pengarah Hospital MA Sentot Patrol Indramayu, Dr Ndaru sempat menyampaikan ucapan takziah ke atas kejadian yang menimpa mangsa di hospital berkenaan.

"Pertama sekali, kita berduka cita terhadap apa yang berlaku. Pihak kami mencuba sebaik mungkin untuk menyelamatkan mangsa namun takdir yang menentukan segalanya," katanya.

Dr Ndaru berkata lagi, pihaknya juga melakukan rawatan itu sesuai mengikut prosedur operasi standard (SOP). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram