Bintang muda biliard negara maut kemalangan, kereta bersama famili hilang kawalan di Lekas


  • 112
  • Khamis, 21 Dis 2023

Muhammad Afiq (kiri) maut dalam kemalangan selepas kereta yang dinaikinya bersama empat ahli keluarga terbabit kemalangan di Lekas pada Rabu. — Facebook

ARENA sukan biliard negara dikejutkan dengan berita kematian bintang remaja, Muhammad Afiq Abdullah pada awal pagi Rabu.

Beliau yang berusia 13 tahun maut dalam kemalangan selepas kereta dinaiki bersama empat ahli keluarganya hilang kawalan di Lebuhraya Kajang- Seremban (Lekas) berhampiran susur ke Ampangan dekat Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, kereta dinaiki Muhammad Afiq hilang kawalan ketika melalui selekoh.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki berusia 21 tahun sedang bergerak bersama empat penumpang dari arah Senawang menuju ke arah Ampangan, Seremban.

412515342_322078624127519_2459392035131358931_n

Keadaan kereta jenis Honda City yang dinaiki Muhammad Afiq selepas terlibat kemalangan pada Rabu. — Bomba

"Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mangsa dikatakan hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terbabas ke longkang di bahu kanan jalan.

"Kejadian itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, empat lagi iaitu dua lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang remaja lelaki cedera dan telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk rawatan lanjut.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Sudesh Kumar di talian 0164830853.

"Atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Difahamkan, Afiq mula terbabit dengan sukan biliard sejak berusia lapan tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram