[VIDEO] Hilang kawalan punca warga emas temui ajal dalam longkang di Pasir Gudang


  • 112
  • Khamis, 21 Dis 2023

Tangkap layar kemalangan yang meragut nyawa seorang warga emas di KM 10, Lebuh Raya Pasir Gudang-Perling menghala ke Pasir Gudang, Johor pada Rabu.

SEORANG lelaki warga emas maut selepas dipercayai terlibat dalam satu kemalangan kendiri di apabila motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer (KM) 10, Lebuh Raya Pasir Gudang-Perling menghala ke Pasir Gudang, Johor pada Rabu.

Melalui video yang dikongsikan dalam grup WhatsApp, lelaki malang yang tidak didedahkan namanya itu ditemui orang awam dalam keadaan terapung di di dalam sebuah longkang.

"Sesiapa ada maklumat mengenai kemalangan Lebuh Raya Pasir Gudang-Perling malam tadi (Rabu) boleh pergi ke balai berdekatan. Seorang penunggang motosikal maut kemalangan. Nampak macam kemalangan kendiri," tulis individu yang berkongsi video berkenaan.

Melalui video berdurasi kurang seminit berkenaan, kelihatan beberapa orang awam mengerumuni kawasan tersebut.

BACA LAGI : [VIDEO] Rempuh lembu sampai terkangkang ekoran jalan gelap gelita, bukan ‘first time’ berlaku di Segamat

Turut kedengaran suara seorang lelaki meminta orang awam untuk mengenal pasti mangsa.

"Ada yang kenal? Dekat belakang stesen minyak ******, mangsa dah meninggal," katanya.

Sementara itu,Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, kejadian berlaku ketika lelaki berusia 65 tahun itu dalam perjalanan dari arah Perling menghala ke Permas Jaya.

"Apabila tiba di laluan berkenaan, warga emas yang berada di lorong kiri telah hilang kawalan dan terbabas sebelum tercampak ke dalam longkang.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu malam.

Polis memohon orang ramai yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil memberikan maklumat di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan atau berhubung dengan Inspektor Kelly Lee Ya Yek di talian 014-6977122.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram