[VIDEO] Lori tak sempat brek rempuh kereta sehingga cetus kebakaran korban 16 nyawa


  • Benua
  • Sabtu, 16 Dis 2023

Anggota penyelamat yang tiba di lebuh raya tersebut bagi memadam kebakaran yang berlaku berpunca daripada kemalangan melibatkan sebuah lori dan bebera buah kenderaan. — Agensi

SEKURANG-kurangnya 16 individu maut dalam satu kemalangan yang mencetuskan kebakaran di sebuah lebuh raya dekat Caracas, Venezuela, pada Khamis.

Dalam insiden tersebut, sebuah lori berkenaan dilaporkan merempuh beberapa buah kereta yang terpaksa berhenti ekoran daripada satu kemalangan yang berlaku sebelum kejadian.

Difahamkan, salah satu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu dipercayai membawa muatan mudah terbakar sehingga mencetuskan letupan sehingga menyebabkan kebakaran.

Video dari tempat kejadian memaparkan situasi kebakaran yang berlaku di lebuh raya yang menghubungkan bandar Guarenas dan Caracas.

Seorang wanita memberitahu media tempatan bahawa dia kehilangan kedua ibu bapa, dua abang dan seorang kakak iparnya dalam kemalangan itu.

"Mereka memberitahu saya mereka semua sudah mati," katanya.

Dalam pada itu, anggota bomba dan perkhidmatan kecemasan dilihat sudah dikerahkan dari Caracas untuk memadamkan kebakaran dan merawat mangsa yang cedera.

Timbalan menteri pengurusan risiko Venezuela, Carlos Pérez Ampueda berkata, 17 kenderaan terlibat dalam kejadian tersebut.

Satu rakaman yang dikongsi di media sosial turut memaparkan beberapa penumpang yang terbaring dalam keadaan terbakar di lebuh raya berkenaan.

Menurut Ampueda, kemalangan kedua melibatkan lori itu berlaku kira-kira 15 minit selepas insiden kemalangan pertama yang terjadi pada pukul 7 pagi.

Ujarnya, pemandu lori itu mungkin tidak dapat melihat lokasi kemalangan pertama kerana 'keadaan cuaca buruk'.

Namun, penduduk tempatan tampil mempertikaikan penjelasan tersebut di media sosial dan berpendapat bahawa masalah penyelenggaraan lori terbabit berkemungkinan menjadi faktor utama kejadian tersebut.

Ini mengambil kira beberapa kemalangan melibatkan kenderaan berat yang dilaporkan di negara tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram