KEBERANIAN yang ditunjukkan oleh seorang tentera wanita India menarik perhatian global ketika berada di bumi Turkiye untuk membantu mangsa gempa.
Selepas sahaja gambarnya tular di media sosial yang dikongsikan oleh pemegang akaun rasmi Twitter milik Tentera India, Mejar Beena Tiwari telah diangkat sebagai simbol kebanggaan rakyat negara itu.
Anggota tentera berusia 28 tahun itu juga menarik perhatian taikun India iaitu Pengerusi Mahindra Group, Anand Gopal Mahindra yang memuji wanita itu dalam usaha membantu mangsa gempa bumi termasuk merawat pesakit, membina hospital lapangan dan membantu pasukan penyelamat.
Anand turut mengatakan rasa bangga dengan usaha yang ditunjukkan oleh pasukan tentera dari India dalam misi menyelamatkan penduduk di Turkiye.
Mejar Beena Tiwari bersama mangsa gempa bumi di Turkiye.
"Kami mempunyai salah satu tentera yang terbesar di dunia, mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam operasi menyelamat dan pengaman", tulisnya dalam kapsyen di Twitter.
Tambahan pula, ahli perniagaan India itu turut mengatakan bahawa gambar Mejar Beena bersama budak perempuan tersebut perlu digunakan untuk menjadi imej global di India.
Lebih menarik lagi apabila salah seorang pengguna media sosial memaklumkan bahawa dia merupakan abang kepada Mejar Beena.
"Terima kasih tuan atas pengiktirafan itu, Mejar Beena dan pasukan bantuan sedang menjalankan tugas dengan baik," tulisnya.
Pengerusi Mahindra Group itu turut memberi maklum balas kepada abang Mejar Beena dengan menulis kembali, "Kami semua bangga dengan keluarga, warisan dan tradisi tentera, tolong sampaikan rasa bangga dan terima kasih daripada saya kepada adik anda,".
Pada 7 Februari lalu, Mejar Beena bersama 99 anggota pasukan perubatan telah berlepas ke Turkiye.
Di bawah inisiatif Operation Dost, pasukan itu berusaha dalam memberikan bantuan dan operasi menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye.
Doktor yang bertugas turut memberitahu bahawa ramai pesakit yang terselamat dari gempa bumi tersebut mengalami trauma dan gangguan tekanan.
Kini, hospital dipenuhi dengan pesakit yang mengalami gangguan tekanan berbanding mereka yang cedera akibat runtuhan.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan mengatakan jumlah korban di Turkiye seramai 31,974 dan lebih 5,814 maut di Syria. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram