Pensyarah jadi jutawan jual daun ketapang kering di eBay, bermula dengan modal RM8 saja


Seorang pensyarah berjaya menjadi jutawan ketika usianya 29 tahun hanya dengan menjual daun ketapang kering.

HANYA dengan bermodalkan RM8, seorang pensyarah berjaya bergelar jutawan dengan menjual daun kering di laman portal beli belah atas talian, eBay.

Menurut Dr Mohd Zulariffin Md Maarof, kisah ini bermula apabila dia mengalami kesuntukan wang semasa bergelar pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johorkira-kira 10 tahun lalu.

Menuntut ilmu di universiti pada ketika itu baginya tidak semudah yang disangka, malah, semasa belajar, beliau turut bekerja sebagai pembantu penyelidik.

Namun, gajinya masih tidak mampu untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.

Disebabkan kekurangan modal, Zulariffin menggunakan kemahirannya dalam bidang data dan matematik untuk memulakan perniagaan di Internet.

Dengan kesempatan itu, dia mengkaji peluang pekerjaan dan mendapati daun ketapang atau lebih dikenali sebagai ‘Indian leaf’ mempunyai permintaan tinggi di laman eBay.

“Rupa-rupaya apabila dicari-cari, daun itu adalah daun ketapang yang bersepah-sepah di UTM. Jadi, apabila sudah tahu, saya terus mencari daun daun kering dan mengosok-gosoknya untuk membuang debu dan tanah.

“Kemudian saya buka akaun eBay dan mengambil foto daun ketapang yang kering itu untuk dijual di laman itu," katanya.

WhatsApp Image 2023-11-06 at 3.09.34 PM

Daun ketapang kering yang dijual di laman eBay.

Siapa sangka, usahanya membuahkan hasil apabila sebanyak 30 helai daun berjaya dibeli oleh pelanggan dari Texas, Amerika Syarikat (USA) pada harga USD1 (bersamaan RM4.65) setiap sehelai daun.

Beliau teruja apabila melihat jualannya laku keras dan mengulangi penjualan itu menerusi laman eBay.

“Alhamdulillah semakin hari perniagaan semakin rancak. Apabila saya sudah ada modal hasil jualan daun kering, saya mula mengambil barang-barang lain dari China untuk dijual di eBay,” katanya.

Selepas memasuki tahun ketiga belajar dalam bidang Doktor Falsafah, beliau berjaya mengembangkan bisnesnya kepada produk-produk yang lebih menguntungkan dari China dan Indonesia.

Sejarah tercipta apabila dia berjaya mengumpul RM1 juta pertama dalam usia 29 tahun.

“Ketika bergelar pelajar, saya juga mampu untuk berkahwin dan membuka restoran nasi beriani sebagai bisnes tambahan, ada yang pelik apa sebenarnya saya lakukan,” katanya.

Namanya kini popular di kebanyakkan universiti awam apabila kerap dipanggil untuk berkongsi ilmu perniagaan kepada mahasiswa.

“Saya mula buat kelas bimbingan menjadi usahawan eBay secara fizikal dan setiap kali kelas itu sekitar 30 sehingga 40 orang saya akan bantu.

“Yuran setiap penuntut pada waktu itu adalah ditanggung oleh kerajaan dan saya akan mengajar mereka langkah demi langkah iaitu membuka akaun eBay, mencari produk, logistik, membuat iklan dan membuka gudang simpanan di USA,’’ katanya.

WhatsApp Image 2023-11-06 at 3.10.11 PM (1)

Dr Zul berhasrat melahirkan lebih banyak usahawan dengan membimbing secara percuma.

Tambahan, beliau yang turut digelar sebagai Pengarah Urusan Export Oversea Academy berhasrat untuk melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang menembusi pasaran global.

"Saya juga bakal melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membimbing 100 penuntut universiti termasuk daripada keluarga yang susah bagi mempelajari bisnes eBay secara percuma yang diadakan secara maya pada 13 dan 14 November ini.

"Selain itu, Export Oversea Academy juga melaksanakan CSR dengan memberikan e-book secara percuma bagi panduan kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk memulakan bisnes eBay,’’ katanya.

Zulariffin turut meluahkan rasa bersyukur kerana bertemu jodoh dengan isterinya ketika sama-sama melanjutkan pelajaran dalam bidang doktor falsafah Matematik.

Mengulas perkembangan terkini, sepasang suami isteri itu kini mengemudi akademi untuk mendidik lebih ramai graduan supaya menjadikan bidang usahawan sebagai karier utama selepas tamat pengajian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram