[VIDEO] Hak penjagaan anak dirampas, janda muda parah dibelasah bekas suami ketika ingin ambil bayi


  • Benua
  • Jumaat, 24 Nov 2023

Tangkap layar seorang wanita cedera parah akibat dipukul bekas suaminya di Jalan Bakti Gang Kusen Dusun lll, Desa Sidomulyo, Kecamatan Binjai, Kabupaten Langkat, Indonesia.

NIAT berjumpa anak bertukar parah apabila seorang wanita cedera teruk dibelasah bekas suaminya ketika ingin mengambil bayinya di kediaman lelaki terbabit dekat Jalan Bakti Gang Kusen Dusun lll, Desa Sidomulyo, Kecamatan Binjai, Kabupaten Langkat, Indonesia pada Rabu.

Janda muda berusia 24 tahun itu ditumbuk dan ditendang lelaki terbabit yang dipercayai enggan menyerahkan hak penjagaan kepada bekas isterinya.

Wanita itu yang terlebih dahulu datang bersama rakannya dikenali sebagai Derisna Wati, difahamkan cuba untuk berbincang secara damai dengan lelaki tersebut.

Namun, lelaki berkenaan bertindak kasar apabila bayinya dirampas wanita terbabit dan terus melepaskan tendangan ke arah perut bekas isterinya.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai MM mengalami sesak nafas akibat serangan tersebut.

MM difahamkan akan melaporkan perbuatan itu kepada pihak polis dan segera mendapatkan hak penjagaan anak daripada bekas suaminya itu.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung perkara itu setakat ini dan warganet di laman media rata-ratanya menggesa agar si pelaku dikenakan tindakan tegas atas kelakuannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram