[VIDEO] Polis Indonesia gembira sakan, jerit 'mantap' lepas jumpa 58 kg syabu dalam pintu kereta


  • Benua
  • Rabu, 15 Nov 2023

Tangkap layar video memaparkan beberapa paket dadah yang ditemukan oleh pihak polis dalam pintu kereta di Indonesia pada Selasa.

TULAR sebuah video memaparkan beberapa paket dadah jenis syabu ditemukan oleh pihak polis yang terdapat dalam pintu sebuah kereta di Indonesia baru-baru ini.

Menerusi video yang tular sejak Selasa itu, beberapa anggota polis berjaya menggagalkan aktiviti penyeludupan dadah di sebuah pelabuhan yang terletak di Bakauheni, Lampung.

Video yang dimuat naik di Instagram @ikl_nusantara itu turut memaparkan reaksi gembira anggota polis tersebut ketika membuka komponen pintu kereta sambil mengeluarkan beberapa paket dadah.

Tidak hanya itu, anggota tersebut dilihat teruja dengan penemuannya dan menjerit perkataan 'mantap' ketika itu.

Dalam pada itu, lelaki dengan baju merah yang dikatakan salah seorang anggota polis itu sempat mengatakan bahawa jumlah dadah yang dijumpainya adalah sebanyak 58 kilogram.

Pada masa sama, beberapa paket dadah itu juga dilihat disorokkan dan disusun secara padat ketika penemuan itu dilakukan.

Bukan itu sahaja, video tular tersebut menerima pelbagai reaksi daripada warga maya.

"Mantap polis, tapi jangan dijual kembali ya. Telefon yang digunakan untuk rakam maksudnya," komen @Soman3_btc.

"Mantap, 58 kg yang ditemukan. Persoalannya, kira-kira berapa kg nanti yang dimusnahkan?," tulis @frdlh_ _ _.

Bagaimanapun, tiada kenyataan lanjut yang dikeluarkan oleh pihak polis Indonesia berhubung kejadian itu setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram