[VIDEO] Syok main mercun sampai baling ke arah polis, 2 lelaki kena tahan di Lembah Subang


  • 112
  • Selasa, 14 Nov 2023

Tangkap layar kejadian dua lelaki ditahan selepas cuba melontarkan mercun ke arah polis pada Selasa.

DUA lelaki ditahan selepas bermain mercun di kawasan awam hingga mengganggu ketenteraman awam dalam kejadian di taman perumahan Lembah Subang, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor pada pukul 4.35 pagi Isnin.

Malah kedua-dua suspek berumur lingkungan 20-an turut bertindak melontarkan bahan letupan itu kepada anggota polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu daripada orang awam di kawasan tersebut.

"Setibanya di lokasi kejadian, polis mendapati terdapat anggaran 50 penduduk perumahan tersebut berkumpul dalam keadaan bimbang dan marah akibat bunyi mercun yang berterusan.

"Malah, anggota dan kenderaan polis yang berada di lokasi kejadian turut dilontarkan mercun oleh kedua-dua suspek itu.

"Bagaimanapun, hasil makluman awam, polis berjaya menahan kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20-an," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohamad Fakhrudin berkata, kedua-dua suspek mempunyai masing-masing dua dan empat rekod jenayah lampau, melibatkan kesalahan jenayah dan dadah.

"Kedua-duanya dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan dibenarkan tahanan reman selama dua hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Sejak Ahad, tular satu video memaparkan tindakan kumpulan tertentu yang bermain mercun bukan sahaja secara berlebihan, malah juga di tempat yang tidak sesuai.

Pada masa sama, pada Isnin, Mohamad Fakhrudin berkata, polis mengesan satu rakaman video kejadian tular mengenai tindakan bermain bunga api di kawasan blok perumahan pangsapuri di Pelangi Damansara, Petaling Jaya.

Untuk rekod, polis sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa individu bermain mercun selepas pukul 12 tengah malam sehingga mengganggu ketenteraman awam boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1995 (Akta 336). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram