[VIDEO] Guru wanita maut peluru sesat kena tepat di dahi dalam kejadian pergaduhan pelajar universiti di Bangkok


  • Benua
  • Isnin, 13 Nov 2023

Sirada (gambar) hanya berada beberapa meter dari lokasi yang menyaksikan dua individu tidak dikenali menyerang seorang pelajar universiti di Bangkok pada Sabtu. — Agensi

SEORANG guru wanita di Thailand maut selepas terkena peluru sesat di kepala dalam satu kejadian dipercayai membabitkan pergaduhan antara pelajar universiti dekat Bangkok pada Sabtu.

Dalam kejadian tersebut, mangsa yang dikenali sebagai Sirada Sinprasert dilaporkan berada tidak jauh daripada lokasi apabila dua individu tidak dikenali menaiki motosikal bertindak melepaskan tembakan berdekatan kawasan penduduk Khlong Toey sekitar pukul 10 pagi.

Difahamkan, tembakan berkenaan pada awalnya disasarkan kepada seorang pelajar universiti berhampiran yang melalui jalan tersebut.

Bagaimanapun, individu menjadi sasaran yang kemudiannya dikenali sebagai Thanasorn Hongsawat, 19 sempat menepis tangan suspek yang cuba melepaskan tembakan pertama.

Ekoran daripada itu, peluru tersebut terbias kepada Sirada yang berada hanya sekitar kira-kira 10 meter dari tempat kejadian.

Dalam insiden terbabit, Thanasorn yang merupakan pelajar di Universiti Teknologi Rajamangala Tawan-ok turut mengalami cedera parah selepas dia ditembak dua kali di bahagian dada dan leher.

Pada waktu ini, pelajar tersebut sedang dirawat di Hospital Chulalongkorn dan masih berada dalam keadaan kritikal.

WhatsApp Image 2023-11-13 at 3.24.54 PM

Lokasi kejadian yang terletak di kawasan Khlong Toey, Bangkok Thailand. — Agensi

Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang juga pemandu tuk tuk, Sirachau Suttusornchai, 60, berkata, dia pada awalnya melihat kumpulan lima pelajar daripada dua universiti berasingan berjalan menghampiri kawasan Khlong Toey.

Bagaimanapun, dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal kemudiannya menghampiri kumpulan terbabit dan terus menyerang salah seorang daripadanya yang kemudiannya dikenali sebagai Thanasorn.

Ujarnya, sebaik melihat insiden berlaku, pelajar lain dalam kumpulan tersebut terus melarikan diri.

Sirachau berkata, sebaik melepaskan beberapa tembakan terhadap Thanasorn termasuk satu daripadanya yang tersasar tepat ke dahi Sirada, kedua-dua suspek terus melarikan diri.

Menurutnya, suspek yang bersenjata itu dilihat memakai jaket biru tua, berseluar jeans, dan turut mengenakan topeng penutup kepala berwarna hitam.

Pergaduhan jalanan antara pelajar dari pusat pendidikan tinggi terutamanya sekolah vokasional sering tercetus di ibu negara Thailand.

Dalam beberapa kes, ia turut mengakibatkan korban nyawa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram