[VIDEO] Penduduk Rom panik, singa sarkas berkeliaran 7 jam di kawasan perumahan


  • Benua
  • Ahad, 12 Nov 2023

Pihak berkuasa Rom mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk menangkap singa terbabit. — Agensi

TULAR satu video mengejutkan pada Ahad memaparkan seekor singa yang berkeliaran di sekitar sebuah kawasan perumahan berdekatan Rom, Itali.

Beberapa klip tersebar di media sosial menunjukkan haiwan berkenaan yang terlepas daripada sebuah tempat sarkas berjalan di sekitar Ladispoli, iaitu kawasan penempatan bagi kira-kira 40,000 penduduk.

Susulan daripada kejadian tersebut, pihak berkuasa meminta orang ramai tinggal di rumah masing-masing sementara usaha menangkap haiwan tersebut dijalankan.

Dalam video berasingan, haiwan berkenaan juga dilihat melintasi jalan yang ketika itu sedang dilalui beberapa kenderaan dipandu orang awam.

Kehadiran haiwan liar itu menyebabkan mereka yang berada di dalam kereta tidak berani untuk keluar sementara pihak polis juga dilihat berada berdekatan untuk mengawal keadaan.

Menurut laporan media tempatan, Corriere della Sera, pihak berkuasa menghadapi cabaran besar dan mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk menangkap singa terbabit.

Malah, mereka juga terpaksa menembak dengan menggunakan ubat pelali sebanyak dua kali selepas tembakan pertama dilihat tidak memberikan sebarang kesan terhadap haiwan berkenaan.

Laporan sama turut memaklumkan bahawa singa itu dapat melarikan diri beberapa kali dengan ia kali pertama ditangkap dan dibius pada pukul 3 petang Sabtu waktu tempatan.

Bagaimanapun, singa terbabit difahamkan kemudiannnya berjaya melarikan diri semula dan dibius kali kedua pada 8.30 malam, sebelum akhirnya ditangkap polis pada pukul 10 malam hari yang sama.

Datuk Bandar Ladispoli, Alessandro Grando dalam pada itu mengesahkan penangkapan haiwan tersebut yang kemudiannya diserahkan kepada pihak pengurusan sarkas.

Dia pada masa sama turut membangkitkan mengenai kepentingan untuk menamatkan eksploitasi yang dilakukan terhadap haiwan liar di tempat sarkas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram