[VIDEO] Pemandu salah masuk gear, 3 maut digilis bas tiba-tiba ternaik platform


  • Benua
  • Sabtu, 11 Nov 2023

Tangkap layar rakaman memaparkan kejadian bas berkenaan yang terbabas dan menaiki platform sebelum melanggar penumpang yang sedang menunggu di stesen tersebut di India Isnin lalu. — Agensi

TIGA maut manakala dua lagi cedera selepas sebuah bas tiba-tiba terbabas sehingga menaiki platform dalam kejadian di terminal Pandit Nehru, Vijayawada, India Isnin lalu.

Mangsa maut terdiri daripada dua lelaki dewasa yang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa yang merupakan kanak-kanak berusia 18 bulan menghembuskan nafas terakhir ketika di hospital.

Video mengenai kejadian menyayat hati itu turut dikongsikan media tempatan di media sosial.

Klip berdurasi 29 saat itu memaparkan keadaan stesen bas berkenaan yang agak sibuk dengan ramai penumpang sedang menunggu di platform.

Bagaimanapun, sebuah bas yang sedang berhenti dilihat secara tiba-tiba bergerak ke hadapan menaiki platform tempat menunggu sehingga melanggar menggilis beberapa individu di hadapannya.

Menurut laporan Times of India yang memetik kenyataan daripada pihak polis, siasatan awal mendapati pemandu bas berusia 60 tahun itu tersilap masuk gear ketika hendak mengundurkan kenderaan tersebut.

Disebabkan situasi itu, bas berkenaan yang sepatutnya berundur tiba-tiba bergerak ke hadapan sehingga terbabas menaiki platform di lokasi.

Susulan daripada kejadian tersebut, pihak berkuasa turut mengarahkan siasatan lanjut terhadap insiden berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram