SEORANG wanita maut manakala dua lagi cedera dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran dan lima lori di Kilometer 200.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Gunung Semanggol, Bagan Serai, Perak pada Khamis.
Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting pada pukul 11.33 pagi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat awal mendapati, kejadian berlaku apabila lori muatan sawit dinaiki mangsa bersama dua yang lain melanggar bahagian belakang sebuah bas membawa enam penumpang.
Menurutnya, pelanggaran itu mengakibatkan kemalangan empat lori lain dari arah sama.
"Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Seorang lelaki dan seorang kanak-kanak yang turut berada dalam lori sama hanya mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kesemua penumpang bas dilaporkan terselamat dan mereka telah dipindahkan ke bas lain untuk meneruskan perjalanan.
Katanya, anggotanya turut membuat pemantauan ke atas semua kenderaan terlibat bagi memastikan tiada unsur yang menyebabkan kebakaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram