KEPRIHATINAN seorang anggota polis trafik untuk membantu lelaki yang berlegar-legar di tepi lebuh raya di Sheffield, England bertukar cemas selepas individu terbabit secara tiba-tiba mengacukan pistol ke arah pegawai tersebut.
Insiden dirakam menerusi kamera papan pemuka kenderaan itu memaparkan tindakan Steven Trevor Nelson, 35, mengancam anggota polis berkenaan dengan senjata api.
Menerusi klip tersebut, pegawai pihak berkuasa terbabit pada awalnya memandu mendekati Steven yang dilihat berdiri di tepi jalan sebuah lebuh raya kira-kira pukul 9 pagi pada 23 Mac.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan dilihat kemudiannya mengambil sesuatu dipercayai pistol di poket belakang seluarnya ketika berjalan mendekati kereta polis sebelum mengacukannya kepada anggota di lokasi.
Susulan daripada itu, pegawai polis tersebut dilihat segera berundur jauh daripada Steven dan terus meminta bantuan pasukan sokongan ke tempat kejadian.
Steven yang dilaporkan hidup secara gelandangan kemudiannya ditahan oleh polis. — Agensi
Ekoran insiden berkenaan, Steven yang dilaporkan hidup secara gelandangan kemudiannya ditahan oleh polis.
Pada masa sama, lelaki itu dilaporkan turut bertindak agresif termasuk dengan menggigit dan meludah ke arah anggota pihak berkuasa, kata Polis South Yorkshire.
Menerusi satu rakaman dari tempat duduk belakang kereta polis, seorang pegawai polis dilihat berhadapan kesukaran selepas Steven dilihat cuba untuk melepaskan diri daripada kawalan anggota terbabit.
Dilaporkan, anggota polis tersebut pada awalnya hadir ke lokasi bagi memberikan bantuan selepas menerima panggilan dipercayai daripada seorang lelaki yang sedang dalam kesusahan dan turut melakukan tindakan menutup jalan.
Pada 19 Oktober lalu, Steven hadir di Mahkamah Sheffield Crown untuk mengaku bersalah atas tuduhan memiliki senjata api tiruan sehingga menyebabkan ketakutan dan ancaman terhadap anggota kecemasan.
Dia dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan dengan 12 bulan daripadanya bagi hukuman penggunaan senjata api dan dua bulan kerana kesalahan menyerang anggota polis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram