POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki membunuh rakannya sendiri hanya gara-gara tidak berpuas hati dirinya dikeluarkan daripada grup WhatsApp berkenaan motosikal pada Ahad.
Kejadian itu dipercayai berlaku di kawasan Baleendah, Kabupaten Bandung, Jawa Barat, Indonesia.
Ketua Polis Bandung, Kusworo Wibowo menjelaskan, kejadian berlaku apabila suspek yang dikenali sebagai TT, 35, berang dan tidak boleh menerima tindakan mangsa (AD) yang menendangnya dari grup berkenaan.
"Selepas dikeluarkan daripada grup WhatsApp, suspek cuba mendapatkan mangsa untuk meminta penjelasan kenapa dia dikeluarkan.
"Kemudian terjadi perbalahan sesama mereka, keadaan menjadi lebih parah apabila suspek mengeluarkan sebilah pisau," katanya pada Isnin.
Jelas Kusworo, hasil bedah siasat mendapati mangsa ditikam sebanyak tiga kali di dada kiri sehingga menusuk ke jantungnya.
Tambahnya lagi, mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tikaman tersebut.
"Selain itu, mangsa juga mengalami kesan tikaman di bahagian lengan dan jari.
“Memang setiap hari dia membawa (pisau) ke mana-mana dan semalam (Ahad) apabila berlaku pergelutan, suspek segera mengeluarkan senjata tajam tersebut dan menikam mangsa,” ujarnya.
Difahamkan, pihak berkuasa berjaya menahan suspek selepas tujuh jam kejadian itu berlaku. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram