Peniaga nasi ayam tikam lelaki gara-gara masalah hutang


  • 112
  • Khamis, 12 Okt 2023

Tangkap layar kejadian seorang lelaki cedera parah ditikam oleh peniaga nasi ayam di pasar awam Lebuh Cecil pada petang Rabu.

SEORANG lelaki parah selepas dipercayai ditikam dengan senjata tajam oleh seorang peniaga nasi ayam dalam pergaduhan di pasar awam Lebuh Cecil, Georgetown, Pulau Pinang pada petang Rabu.

Mangsa berusia 26 tahun yang cedera di muka, kaki dan perut itu kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 3 petang Rabu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, mangsa yang juga warga tempatan didapati cedera dan berlumuran darah akibat ditikam dengan senjata tajam.

"Suspek berusia 51 tahun berjaya ditahan pada puku 6.30 petang di kawasan Lebuh Macullum.

"Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan masalah berkaitan hutang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Soffian berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah manakala ujian saringan air kencing didapati negatif daripada bahan terlarang itu.

Katanya, permohonan reman akan dibuat ke atas suspek bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 04-2181831 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram