SEORANG pemuda nekad menikam jirannya sendiri sehingga maut gara-gara tidak berpuas hati ibunya telah diperkosa oleh pelaku.
Kejadian tersebut berlaku di Desa Liprak Kidul, Kecamatan Banyuanyar, Kabupaten Probolinggo, Indonesia pada Isnin malam.
Suspek, Holili Abdianto, 23, bertindak sedemikian kerana ingin membalas dendam terhadap lelaki berkenaan yang dipercayai telah memperkosa ibunya.
Perbuatan itu diceritakan sendiri oleh ibu Holili seminggu selepas kejadian.
Suspek yang berang selepas mengetahui perkara tersebut nekad menikam mangsa, Torawi, 59, yang difahamkan baru sahaja selesai menghadiri majlis Maulidur Rasul.
Menurut penghulu kampung, sesudah sampai di rumah, mangsa dikejutkan dengan kehadiran Holili yang berdiri tercegat di hadapannya sambil memegang sebilah pisau.
Katanya, tanpa berfikir panjang, mangsa segera menikam mangsa di belakang badan, namun dia sempat melarikan diri.
"Malangnya Torawi tiba-tiba terjatuh, lalu kesempatan itu diambil suspek untuk menikamnya sekali lagi.
"Mungkin disebabkan kehilangan banyak darah, mangsa tidak sempat mendapatkan rawatan dan meninggal dunia setibanya di Pusat Kesihatan Masyarakat Banyuanyar," ujarnya.
Pihak polis berkata, setelah kejadian, suspek bertindak menyerah dirinya kepada balai polis dengan dihantar oleh bapanya sendiri.
"Bapa suspek tidak tahu akan hal ini. Dia hanya mengetahui motif sebenar anaknya bertindak seperti itu hanyalah ketika dia menghantar anaknya itu ke balai," ujarnya.
Torawi dipercayai meninggal dunia akibat mengalami tujuh tikaman di badannya. Mayat mangsa kemudian dibawa ke bilik mayat di Hospital Wilayah Waluyo Jati Kraksaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram