SELEPAS ketinggalan dua gol di laman sendiri, Sri Pahang FC masih boleh berpuas hati apabila mencatatkan keputusan seri dalam aksi Liga Super berdepan Terengganu FC Ahad lalu.
Dua jaringan daripada Omid Nazari menyaksikan skuad Sang Penyu berada di depan memasuki 15 minit terakhir permainan dengan tuan rumah dilihat berada dalam tekanan sepanjang perlawanan.
Namun, pada minit ke-78, penyerang skuad Tok Gajah, Rafael Silva tampil memberikan keselesaan buat pasukannya menerusi satu percubaan cukup menarik.
Tidak lama selepas itu, kapten Sri Pahang FC, Sergio Aguero tampil mengikat kedudukan menerusi satu rembatan dari luar kotak yang mengelirukan penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim.
Keputusan akhir 2-2 menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata yang dibawa pulang dengan tirai Liga Super 2023 sudah semakin hampir dilabuhkan.
Meskipun ia dilihat masih tidak cukup, Aguero yang boleh diangkat sebagai wira pasukannya masih boleh berpuas hati akan keputusan berkenaan.
Persembahan cukup baik dipamerkan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Super Ahad lalu. — Facebook/Terengganu FC
"Ia sememangnya satu perasaan amat baik untuk menjaringkan gol dan membantu pasukan saya mendapatkan keputusan baik untuk setiap perlawanan.
"Kebangkitan kami adalah sesuatu yang menakjubkan kerana Terengganu FC memiliki kelebihan selesa pada awalnya sebelum kami menjaringkan dua gol pada lewat permainan," katanya.
Selepas 22 perlawanan, Sri Pahang FC kini berada di tangga keempat dengan hanya enam mata membezakan mereka berbanding Kedah Darul Aman (KDA) FC di kedudukan ketiga carta dengan kelebihan perlawanan berpihak kepada skuad Tok Gajah.
Ia pastinya satu kedudukan cukup baik buat pasukan Pantai Timur itu memandangkan mereka sebelum ini kehilangan khidmat Aguero akibat kecederaan pada awal musim.
Dalam 13 penampilan, pemain naturalisasi negara itu sudah menjaringkan lima gol dan merekodkan lima bantuan jaringan di samping memainkan peranan cukup penting sebagai kapten pasukan.
"Saya berasakan bahawa kehadiran saya banyak membantu pasukan dan saya juga beraksi dengan baik. Sudah tentu saya mahu beraksi dengan lebih baik dan harapnya empat perlawanan terakhir ini saya dapat memberikan lebih banyak sumbangan," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram