[VIDEO] Ajal ketika alihkan roti, pekerja kedai bakeri maut kena hempap lif


  • Benua
  • Jumaat, 27 Okt 2023

Tangkap layar keadaan seorang lelaki yang dilaporkan maut selepas dihempap lif pengangkut barang di sebuah kedai bakeri pada Selasa lalu.

MALANG tidak berbau buat seorang lelaki berusia 34 tahun yang dilaporkan maut selepas dihempap lif pengangkut barang di sebuah kedai bakeri pada Selasa lalu.

Kejadian ngeri yang berlaku pada pukul 1.10 petang di bandar Aktau, Kazakhstan itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

Menerusi rakaman berdurasi 16 saat itu, pekerja tersebut bersama seorang lagi rakannya dilihat mengalami kesukaran untuk mengalihkan rak roti yang berada di bawah bahagian lif.

Bagaimanapun, lif yang berada di atas mereka secara tiba-tiba meluru jatuh sebelum menghempap mangsa, manakala seorang lagi rakannya terselamat apabila dirinya terpelanting ke belakang.

Lelaki itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan yang parah.

Pihak berkuasa telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan difahamkan kes masih lagi dalam siasatan.

Menurut seorang pegawai polis, pakar telah dilantik untuk menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.

"Data berkaitan kes ini telah didaftarkan dengan jabatan polis bandar Aktau di bawah Bahagian 3 Perkara 156 Kanun Jenayah Republik Kazakhstan (pelanggaran peraturan keselamatan buruh)," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram