SEORANG kanak-kanak berdepan detik cemas selepas anjing peliharaannya nyaris terjerut apabila tali yang dipasangkan pada leher haiwan tersebut tersepit di luar sebuah lif yang sedang bergerak di sebuah kondominium di Brazil baru-baru ini.
Kejadian yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu tular sejak Khamis lalu.
Berdasarkan klip tersebut, budak lelaki itu pada awalnya masuk ke dalam lif berseorangan bersama haiwan peliharaannya.
Bagaimanapun, dia kemudiannya leka melihat ke arah cermin di dalam lif tersebut dan tidak menyedari bahawa sebahagian daripada tali mengikat anjingnya dibiarkan terkeluar dari ruang dalam lif selepas pintunya ditutup.
Perkara itu hanya disedari selepas lif mula bergerak dan tali tersebut mula menarik haiwan peliharaanya tergantung ke bahagian atas pintu.
Budak lelaki itu juga dilihat pantas memegang tali berkenaan untuk mengelakkan ia daripada menjerut anjing berkenaan.
Akibat daripada tindakan tersebut, kanak-kanak terbabit juga dilihat ikut terangkat ke atas bahagian pintu lif berkenaan.
Pada masa sama, menerusi cermin yang berada di dalam lif itu, anjing peliharaan yang sedang tergantung terbabit dilihat dengan sendiri melepaskan dirinya daripada tali yang mengikat bahagian lehernya.
Berdasarkan kepada tarikh pada video tersebut, rakaman insiden itu dipercayai berlaku pada 23 Ogos lalu.
Lokasi sebenar kejadian difahamkan berlaku di Goiania, Brazil.
Dalam pada itu, portal Es Euro melaporkan, budak lelaki terbabit, Thiago, 11, dan anjingnya yang bernama Milu itu terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram