[VIDEO] Akibat 'maintenance' teruk, budak 8 tahun terperangkap seorang diri dalam lif tingkat 20 hampir setengah jam


  • Benua
  • Khamis, 05 Okt 2023

Video insiden memaparkan insiden mencemaskan dihadapi kanak-kanak tersebut turut tular di sosial media.

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dilaporkan terperangkap seorang diri di dalam sebuah lif yang sedang berada di tingkat 20 tingkat di sebuah bangunan dekat kawasan Jankipuram Extension, Lucknow, Uttar Pradesh, India.

Lebih mengejutkan, insiden cemas yang berlaku pada pukul 1 tengah hari Rabu itu berlarutan selama kira-kira 20 minit sebelum lif berkenaan terbuka secara automatik di tingkat tersebut.

Pegawai Penguasa Pembangunan Lucknow (LDA) mengesyaki kejadian itu berlaku akibat 'gangguan teknikal' dan menyifatkan ia sebagai kecuaian daripada pihak agensi penyelenggaraan lif serta jabatan elektrik.

Insiden tersebut turut mendapat perhatian selepas video memaparkan kanak-kanak perempuan itu sedang terperangkap di dalam lif tular di media sosial.

Berdasarkan klip tersebut, budak yang memakai uniform sekolah itu dilihat berada dalam keadaan cemas dan menangis di samping turut berulang kali cuba meminta bantuan serta membuka pintu lif berkenaan.

Kanak-kanak terbabit yang kemudiannya dikenali sebagai Dhwani Awasthi berkata, pintu lif itu tertutup secara tiba-tiba ketika dia baru hendak keluar ke tingkat 11.

"Saya menekan butang lif tetapi sebelum saya boleh keluar, ia ditutup semula dan bergerak ke atas. Ia tersekat di tingkat 20 sebelum saya sempat keluar," katanya menceritakan kembali kejadian tersebut.

Dalam pada itu, jiran mangsa, Ajay Singh berkata, kejadian itu mungkin berlaku kerana bangunan itu mengalami gangguan bekalan elektrik pada hari tersebut.

"Mungkin disebabkan bekalan elektrik yang kerap terputus, lif itu tersangkut. Hampir 20 minit kemudian pintu lif terbuka secara automatik apabila bekalan kuasa dipulihkan," katanya.

WhatsApp Image 2023-10-05 at 7.34.35 PM

Tangkap layar video tular itu memaparkan kanak-kanak tersebut cuba membuka pintu lif berkenaan.

Jelas Ajay, susulan daripada itu, budak berkenaan difahamkan berada dalam keadaan sangat trauma dan terkejut.

Sesetengah penduduk tempatan memaklumkan bahawa kebiasaannya, lif di bangunan itu akan berhenti di tingkat terdekat sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

Bagaimanapun, dalam kes terbaharu itu, lif berkenaan terus naik ke tingkat 20 sebelum tersekat dipercayai akibat masalah teknikal.

Dalam pada itu, seorang jurutera dari LDA menyatakan bahawa gangguan terhadap bekalan kuasa menjadi punca berlakunya kejadian tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram