[VIDEO] Lemas ketika disiplin renang Ironman Langkawi, peserta wanita kritikal di ICU HSM


  • Podium
  • Sabtu, 07 Okt 2023

Tangkap layar seorang peserta kejohanan triathlon Ironman Langkawi yang diselamatkan selepas dipercayai mengalami masalah kesihatan pada Sabtu.

INSIDEN hampir meragut nyawa berlaku ketika kejohanan triathlon, Ironman Langkawi Malaysia di Langkawi, Kedah yang berlangsung pada Sabtu apabila seorang peserta wanita dilaporkan hampir lemas.

Berdasarkan beberapa laporan media tempatan, wanita itu disyaki mengalami keletihan semasa sedang melakukan disiplin renang dalam kejohanan tersebut.

Berdasarkan hantaran Facebook oleh anak saudaranya, Nafisah Hani kira-kira pukul 8 malam Sabtu menyatakan bahawa mangsa yang dikenali sebagai Muhaini Mahmud itu berada dalam keadaan kritikal di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi.

Menerusi catatan tersebut, Nafisah merayu rakan-rakan mendoakan ibu saudaranya yang kini berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSM.

Pada masa sama, semakan pada akaun media sosial Muhaini mendapati wanita tersebut adalah pengasas bersama Kiddocaremy dan bekas Pengarah Hal Ehwal Korporat di Weststar Group.

Dalam pada itu, menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, wanita berusia 44 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur itu telah dibawa ke hospital menaiki ambulans.

"Wanita itu kelihatan tidak bermaya ketika sudah hampir tiba ke garisan penamat bagi disiplin renang dan dia telah diberikan rawatan awal di tempat kejadian sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, seorang peserta lelaki yang turut keletihan pula turut diberikan rawatan awal di lokasi kejohanan berkenaan yang berlangsung di Pantai Kok.

Dalam kejadian berasingan, beliau berkata, seorang penonton lelaki mengalami kecederaan ringan kerana terjatuh ketika menyaksikan kejohanan di lokasi sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram