[VIDEO] Lelaki AS saman pekerja restoran lepas tembakan gara-gara mengadu tak dapat kentang goreng


  • Benua
  • Rabu, 27 Sep 2023

Tangkap layar mengenai pekerja pandu lalu Texas Jack-in-the-Box melepaskan tembakan ke arah keluarga Florida Selatan semasa pertikaian kentang goreng.

SEORANG lelaki pada Selasa menyaman restoran makanan segera Jack in the Box di Texas, Amerika Syarikat (AS) kerana tindakan pekerjanya melepaskan tembakan gara-gara bertekak kerana tidak mendapat kentang goreng dalam kejadian yang berlaku pada dua tahun lalu.

Menurut kenyataan mahkamah, dalam kejadian pada 3 Mac 2021 itu, pihak plantif, Anthony Ramos berada di Houston atas urusan kerja dan mengambil isterinya, Jeraldin Ospina dan anak perempuannya yang berusia enam tahun ketika itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa George Bush.

Keluarga yang berasal dari Floridia itu kemudiannya singgah di restoran Jack in the Box kira-kira pukul 11.30 malam dan memesan makan yang bernilai RM61 menerusi kaunter pandu lalu.

Kemudian Ramos bertanya kepada petugas kaunter, Alonneia Ford untuk memeriksa dan mengesahkan pesanan sebelum mendapat makanannya tetapi menyedari kentang goreng tidak disediakan.

Ford didakwa enggan melayan aduan Ramos menyebabkan lelaki itu meminta kebenaran untuk bercakap dengan pengurus restoran.

Ford juga didakwa memaki keluarga tersebut, sekali gus mencetuskan perbalahan lebih besar.

Insiden kejadian itu kini tersebar di media sosial yang menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis itu.

Dalam rakaman itu, Ford juga didapati melempar ais dan sos ke arah kenderaan yang dinaiki Ramos menerusi tingkap kaunter pandu lalu.

Malah Ford dilihat bertindak lebih agresif apabila mengeluarkan pistol sebelum melepaskan dua das tembakan ketika Ramos meninggalkan kaunter tersebut.

Dokumen mahkamah mengesahkan anak Ramos berada di tempat duduk belakang kenderaan itu dan isterinya, Ospina sedang mengandung ketika kejadian.

Kejadian itu menyebabkan Ramos berhenti kerja di Houston dan kembali ke Florida bersama keluarganya.

Ford turut ditahan susulan kejadian itu dan didakwa bertindak ganas dengan menggunakan senjata api.

Selepas dua tahun, Ramos akhirnya mengambil keputusan menyaman pihak restoran dan Ford tetapi jumlah pampasan yang diminta tidak dinyatakan.

Kes itu akan mula dibicarakan pada November ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram