
AKSI tawar-menawar melibatkan seorang wanita dan seekor monyet di sebuah kuil di Bali, Indonesia yang tular di media sosial baru-baru ini mendapat perhatian warga maya.
Kejadian mencuit hati itu sempat dirakam individu lain yang terhibur menyaksikan keletah mereka.
Video berdurasi 23 saat itu menunjukkan wanita berkenaan cuba 'merasuah' monyet tersebut dengan makanan agar haiwan itu memulangkan telefon pintarnya semula.
Pada awalnya, wanita itu menawarkan sebiji buah kepadanya, namun monyet itu tidak menunjukkan sebarang minat.
Enggan beralah, dia kemudian mengeluarkan sebiji lagi buah yang sama daripada beg tangannya dan dihulurkan kepada haiwan berkenaan.
Monyet itu akhirnya 'bersetuju' dengan tawaran kedua dan menyerahkan semula telefon tersebut kepada wanita itu.
Untuk rekod, satu kajian yang diterbitkan pada 11 Januari 2021 mendapati monyet berekor panjang yang tinggal di Kuil Uluwatu di Bali telah menemui cara untuk mendapatkan lebih banyak makanan daripada pelancong dengan mencuri barangan mereka yang paling berharga, seperti telefon pintar.
Mereka dikatakan mempelajari taktik tersebut daripada monyet-monyet yang lebih berusia.
Seorang profesor di Jabatan Psikologi di Universiti Lethbridge di Kanada, yang juga pengkaji utama kajian itu, Dr Jean-Baptiste Leca menjelaskan, tingkah laku itu sebenarnya menunjukkan tahap kecerdasan budaya haiwan tersebut.
Malah, populasi itu telah mengekalkan tradisi tersebut sekurang-kurangnya hampir 30 tahun. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram