PERTUMPAHAN darah yang berterusan di Gaza ekoran konflik Palestin-Israel kini dilihat semakin meruncing apabila rejim Zionis bertindak kejam terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah.
Pada Selasa, sekurang-kurangnya 500 orang termasuk kanak-kanak terbunuh ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Al Ahli Arab selepas diserang oleh Israel.
Serangan yang dilakukan oleh rejim Zionis di Hospital Al Ahli Arab pada Selasa.
Justeru, serangan yang seolah-olah tidak berpenghujung itu turut membangkitkan kemarahan masyarakat di seluruh dunia termasuk rakyat Turkiye yang berpihak kepada Palestin.
Tidak terlepas berganding bahu menunjukkan solidaritinya bersama Palestin, ratusan rakyat Turkiye bertindak melakukan protes besar-besaran bagi membantah penglibatan AS dalam membantu Israel memerangi pejuang Hamas.
Menerusi video yang tular di laman X sejak Rabu itu, ratusan rakyat Turkiye mengadakan konvoi menaiki kereta menuju ke Pangkalan Radar Kurecik di Malatya, Turkiye yang menempatkan tentera AS bagi mengadakan protes.
Bukan setakat itu, mereka juga mengepung pangkalan tentera itu dan memecahkan penghadang polis sambil melaungkan slogan menyokong Palestin serta mengutuk kekejaman Israel.
Konvoi besar-besaran yang dilakukan rakyat Turkiye untuk menuju ke pangkalan tentera Amerika Syarikat pada Rabu.
Dalam pada itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sempat meninggalkan mesej dengan mengutuk tindakan Israel meletupkan hospital Gaza sebagai contoh terbaharu serangan rejim Zionis yang tidak mempunyai nilai kemanusiaan yang paling asas.
"Saya mengajak seluruh dunia bertindak untuk menghentikan kekejaman yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Gaza," katanya di Twitter (X) baru-baru ini.
Rakyat Lebano marah dengan tindakan Israel yang tanpa belas kasihan membunuh kanak-kanak di Gaza.
Dalam perkembangan lain, rakyat Lebanon turut mengadakan protes dengan membakar di Kedutaan AS sebagai membantah kekejaman sekutunya, Israel yang mengebom hospital di Palestin.
Video yang dikongsikan oleh @Sprinter99800 itu menunjukkan pihak polis cuba menghalang dan menggunakan penembak air dan semburan lada untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang memecah masuk kawasan konsulat.
Protes tersebut jelas menunjukkan kemarahan orang ramai terhadap perbuatan kejam Israel yang mengorbankan ribuan nyawa di Gaza. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram