PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan insiden pengeboman sebuah hospital di Semenanjung Gaza sebagai perbuatan gila dan tidak berperikemanusiaan.
Anwar yang mengecam dan kesal dengan perbuatan itu berkata, krisis Palestin-Israel sudah keterlaluan dan patut dihentikan segera.
"Apapun dituduh, siapapun (menuduh) maknanya ini kesan daripada serangan dan perang. Sebab itu, kita kata sebaiknya hentikan!.
"Kalau teruskan, mangsanya wanita, anak-anak dan pesakit. Ini sudah capai tahap gila dan tidak berperikemanusiaan,” katanya selepas menghadiri simposium The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia di Putrajaya, pada Rabu.
Setakat Selasa, Kementerian Kesihatan di Gaza dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 500 orang terbunuh dalam serangan udara di Hospital Arab Al-Ahli yang terletak di tengah Gaza.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengutuk serangan tersebut yang disifatkan insiden paling berdarah sejak konflik melanda.
Susulan itu, Anwar merancang untuk mengadakan perjumpaan dengan pucuk pimpinan beberapa negara bagi membincangkan krisis di Gaza itu.
"Saya akan fikir keperluan dan berbincang dengan beberapa pimpinan (negara) sama ada saya harus jelajah ke beberapa negara atau melalui telefon sahaja,” katanya.
Anwar turut memaklumkan akan berjumpa Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammad Salman Abdul-Aziz Al Saud ketika menghadiri sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi membincangkan konflik berkenaan.
Mengenai status pasukan pengaman negara di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) di Lubnan, Anwar berkata, ketika ini pasukan tersebut masih dikekalkan.
Menurutnya, keputusan untuk mengekalkan pasukan keamanan di negara itu dibuat bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Jadi jika keadaan keselamatan dapat terjamin seperti sekarang, kita teruskan dan jika tidak, kita akan bawa mereka pulang," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram