[VIDEO] Niat cari kangkung di parit bertukar tragedi, lelaki maut lutut hampir terputus dibaham buaya


  • Benua
  • Isnin, 25 Sep 2023

Tangkap layar video tular orang kampung menangkap seekor buaya yang membunuh seorang lelaki di Indonesia baru-baru ini. — Agensi

NIAT seorang lelaki di Indonesia memetik sayur kangkung bertukar tragedi selepas dia maut dibaham buaya baru-baru ini.

Peristiwa malang itu berlaku di sebuah ladang sawit Desa Salupangkang dekat Sulawesi Barat, Indonesia pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Wayan meninggalkan rumahnya menuju ke sebuah parit di kawasan kebun sawit tersebut.

Penyelaras Pusat Data dan Maklumat, Mateng Rezky Ilhamsyah berkata, mangsa diterkam buaya ketika memetik kangkung di parit tersebut.

"Kehilangan mangsa disedari warga kampung yang melihat motosikalnya di lokasi kejadian.

"Mereka juga melihat mayat mangsa diseret seekor buaya sebelum meminta pertolongan penduduk yang lain," katanya memetik laporan berita antarabangsa detiksulsel.com.

Tambah Mateng Rezky, ketika Wayan ditemui, dia sudah tidak lagi bernyawa.

"Mangsa sudah mati ketika ditemui dan lututnya juga dilihat hampir putus.

"Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan oleh ahli keluarganya," katanya.

Menurut Mateng Rezky lagi, buaya tersebut juga berjaya ditangkap oleh penduduk kampung dan dibunuh pada hari yang sama demi keselamatan penduduk yang lain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram