Trend jenayah rogol bawah umur di Kelantan meningkat ketika PKP


  • 112
  • Ahad, 05 Sep 2021

SHAFIEN berkata, jenayah rogol di Kelantan terutama membabitkan mangsa di bawah umur meningkat kepada 65 kes tahun ini, khususnya ketika PKP. — Bernama

TREND rekod jenayah rogol bawah umur di Kelantan begitu membimbangkan terutama ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kajian juga mendapati, kejadian rogol berlaku di rumah mangsa atau rumah perogol.

Tambahnya, pasangan terbabit dalam kejadian itu mengenali antara satu sama lain dan melakukan perbuatan tersebut ketika ibu bapa tidur atau tiada di rumah.

“Mereka tidak bebas kerana PKP yang dilaksanakan menyekat pergerakan, namun tidak menghalang untuk melakukan perbuatan itu,” katanya.

Pada masa sama, Shafien berkata, jenayah rogol di Kelantan terutama membabitkan mangsa di bawah umur meningkat secara keseluruhan kepada 65 kes tahun ini, khususnya ketika pelaksanaan PKP.

Jumlah itu direkodkan bermula Januari hingga Julai dengan peningkatan sebanyak 11 kes berbanding 54 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya lagi, peningkatan ketara kesalahan jenayah seksual itu membabitkan mangsa di bawah umur yang pada dasarnya ‘suka sama suka’.

Bagaimanapun, katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai rogol kerana membabitkan mereka yang berusia 16 tahun dan ke bawah.

“Antaranya adalah pasangan kekasih yang berusia seawal 13 hingga 16 tahun dan masih bersekolah.

“Lelaki atau pelaku pula berusia sehingga lebih 30 tahun yang ada dikenali menerusi laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp di dalam lingkungan daerah yang sama,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak masing-masing agar dapat mengekang berlakunya jenayah rogol terutama dalam kalangan bawah umur. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

rogol, Kelantan, bawah umur