Perogol 13 pelajar akur dipenjara seumur hidup


  • Benua
  • Rabu, 23 Feb 2022

PIHAK pendakwa raya dilaporkan memfailkan rayuan terhadap keputusan hakim dan menuntut Herry dihukum mati. — Agensi

TERTUDUH dalam kes rogol 13 pelajar perempuan, Herry Wirawan, menerima hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Daerah Bandung.

Walaupun sudah tujuh hari keputusan itu dijatuhkan, Herry secara rasmi tidak memfailkan rayuan dan dia tidak mengambil sebarang tindakan untuk menentang hukuman tersebut.

"Jadi, berkenaan dengan keputusan itu, adalah hak tertuduh untuk menentukan tindakan selanjutnya. Sehingga semalam (Selasa), Herry tidak menghubungi kami untuk membuat sebarang permohonan rayuan atau membatalkan hukuman, jadi sepertinya dia sudah menerima hukuman tersebut," kata peguam Herry Wirawan, Ira Mambo.

Terdahulu, hakim membacakan keputusan Herry Wirawan pada perbicaraan yang diadakan minggu lalu.

Selepas keputusan itu dibacakan, pihak pendakwaan dan Herry diberi masa selama seminggu untuk melakukan tindakan selanjutnya.

Sepanjang tempoh itu, pendakwa raya dilaporkan memfailkan rayuan terhadap keputusan hakim dan menuntut Herry dihukum mati.

Mengenai rayuan pendakwa raya, Ira berkata, pihaknya juga sedang menyediakan permohonan balas untuk rayuan itu.

Permohonan itu akan dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Bandung melalui Mahkamah Daerah Bandung.

"Terhadap rayuan pendakwa raya yang dilakukan pada Isnin dan dimaklumkan semalam (Selasa), mereka menyatakan rayuan telah pun didaftarkan. Sudah tentu kami sebagai penasihat undang-undang dan defendan akan menyediakan rayuan balas sekiranya kami telah menerima memorandum rayuan, " katanya.

Pihak pendakwaan juga sebelum ini meminta hukuman mati dijatuhkan ke atas Herry, namun hakim menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada pemangsa seks itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram