RENTETAN konflik antara Palestin-Israel yang semakin tegang, beratus-ratus video palsu dilihat mula tersebar secara meluas di media sosial khususnya laman Twitter X, sekali gus menimbulkan kebimbangan jika ada pihak yang mempercayai kesahihan video berkenaan.
Antara video palsu yang disebarkan tanpa sempadan di laman sosial terbabit termasuklah sebuah video menggambarkan pejuang Hamas membunuh kanak-kanak sedangkan ia sebenarnya sekadar klip sebuah filem pendek Palestin Empty Place yang berkisahkan warga Palestin, Ahmed Manasra yang dipenjarakan.
Pada masa sama, pengguna di laman X juga menyiarkan berita palsu dari Rumah Putih dengan mendakwa Amerika Syarikat menghantar berbilion dolar bagi membantu Israel.
Namun, Joe Biden telah mengesahkan pada Isnin bahawa dia tidak pernah membuat pengumuman tersebut.
Pada masa sama, ketua kumpulan pertubuhan sayap kanan Britain, Paul Golding, turut menyiarkan video palsu mengenai pesawat perang yang terbang ke Gaza.
Bersama video itu, Paul menulis kapsyen ringkas, “Israel akan menurunkan api neraka ke atas Gaza”.
Video itu ternyata dihasilkan daripada simulator permainan video sebelum dimuat naik di TikTok.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah video mendakwa Nimrod Aloni, Jeneral Kanan Tentera Israel telah ditangkap oleh kumpulan Hamas semasa serangan mengejut pada hari Sabtu, namun beliau dalam satu mesyuarat mengesahkan dakwaan ini palsu pada Ahad, lapor CNN.
Satu lagi video mendakwa Aloni ditangkap oleh pejuang Hamas. Bagaimanapun, video itu sebenarnya menunjukkan Azerbaijan menahan puak pemisah Karabakh.
“Khabar angin yang tersebar semakin meningkat. Kami mengingatkan anda untuk bergantung kepada sumber rasmi.
“Hal ini untuk mengelakkan maklumat tidak sahih yang diperoleh daripada sumber tidak diketahui tersebar luas,” kata satu sumber.
Konflik palestin-Israel semakin teruk apabila angka kematian lebih 3,000 orang melibatkan kedua-dua pihak setakat Selasa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram