[VIDEO] Pejuang Al-Qassam titip pesanan penting, jangan sakiti wanita dan kanak-kanak Israel


  • Benua
  • Selasa, 10 Okt 2023

Tangkap layar seorang pejuang Hamas melepaskan dua individu wanita dan warga emas Israel di sebuah penempatan Israel dekat Semenanjung Gaza.

TENTERA Al-Qassam dan sayap Gerakan Penentangan Islam Hamas berkongsi satu mesej penting kepada masyarakat di seluruh dunia ketika menyerbu masuk ke sebuah rumah penempatan Israel di Semenanjung Gaza pada Isnin.

Rakaman berdurasi seminit itu memaparkan seorang wanita warga emas sedang terbaring kesakitan sambil ditemani wanita dipercayai anaknya yang duduk di sebelah katilnya.

Bercakap kepada kamera, seorang pejuang Hamas berkata, mereka telah memasuki ke wilayah Palestin yang dicerobohi musuh Israel sejak sekian lamanya.

Namun, tiada tindakan diambil terhadap kedua-dua individu berkenaan dengan pejuang Islam tersebut menyatakan bahawa mereka tetap dengan pegangan Nabi Muhammad supaya tidak menyakiti kaum wanita ataupun kanak-kanak.

"Pada perang kali ini, Pejuang Al-Qassam masuk ke sebuah rumah dan didapati ada wanita dan orang tua.

“Kami menunaikan wasiat Rasulullah SAW sebagai Muslim Mujahidun, kami tidak membunuh wanita, orang tua, kanak-kanak dan ahli ibadat di tempat ibadat mereka.

"Kami hanya membunuh tentera dan melepaskan wanita serta kanak-kanak," katanya.

Perkongsian itu meraih perhatian di laman media dengan rata-rata warganet melihat ia sebagai situasi berbeza jika dibandingkan perbuatan tentera Israel sebelum ini yang berpelakuan kejam terhadap setiap golongan rakyat Palestin.

Untuk rekod, sekurang-kurangnya 247 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera Israel setakat tahun ini, manakala 32 warga Israel dan dua warga asing terbunuh dalam serangan membabitkan pihak pejuang Palestin.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di Telegram, Hamas menyeru 'pejuang penentang di Tebing Barat' dan 'negara Arab dan Islam' untuk menyertai pertempuran terbabit.

Seorang pemimpin Hamas yang dalam buangan, Saleh al-Arouri berkata, operasi pada Sabtu adalah tindak balas 'kepada jenayah penaklukan' yang dilakukan Israel ke atas Palestin.

Menurutnya, pejuang Palestin mempertahankan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis dan berjuang untuk ribuan tahanan Palestin yang ditahan Israel. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram