TINDAKAN dua kanak-kanak yang didakwa membaling basikal dan objek berbentuk bata dari atas tembok blok Lembaga Perumahan di Blok 244 Ang Mo Kio Avenue 1, Singapura kini dalam siasatan polis.
Menerusi video yang dikongsi secara meluas di media sosial, seorang kanak-kanak lelaki dilihat mencampakkan objek itu ke bawah sambil disaksikan seorang lagi budak perempuan.
Dalam pada itu, dia kemudiannya dilihat turut membaling sebuah basikal kecil ke bawah.
Mengulas lanjut berhubung hal tersebut, jurucakap polis pada Rabu berkata, laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.
Insiden itu berlaku pada pukul 1.36 tengah hari Selasa berdasarkan catatan masa pada video kamera litar tertutup (CCTV) terbabit.
Menurut laporan berita Shin Min Daily News, ibu bapa kanak-kanak itu telah meminta maaf kepada pemilik basikal berkenaan dan difahamkan turut menawarkan pampasan wang sebagai ganti rugi.
Jurucakap Majlis Perbandaran (AMKTC) Ang Mo Kio yang menguruskan kawasan kejiranan di blok itu berkata, pihaknya menyedari kejadian itu dan basikal tersebut telah dialihkan oleh pekerja pembersihan.
"Kami telah menghubungi polis mengenai perkara itu dan siasatan sedang dijalankan.
"AMKTC akan terus mendidik dan mengingatkan penduduk supaya sentiasa menjaga kediaman serta persekitaran mereka demi kepentingan keselamatan awam untuk semua penduduk," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram