[VIDEO] Vokalis 'The 1975' belum puas hati, masih pertahankan LGBT, kutuk Malaysia sebelum konsert di AS


  • Tular
  • Rabu, 11 Okt 2023

Tangkap layar vokalis kumpulan The 1975, Matt Healy mengutuk kerajaan Malaysia sebelum membuat persembahan di Amerika Syarikat.

SELEPAS disenarai hitam daripada membuat persembahan di negara ini susulan aksi kontroversi di Good Vibes Festival 2023 Jun lalu, vokalisnya, Matt Healy terus mengutuk dan menghina kerajaan Malaysia ketika mengadakan konsert di Amerika Syarikat pada Selasa.

Mendakwa ia sebagai satu situasi yang tidak sepatutnya berlaku, penyanyi itu kongsikan kemarahannya kepada penonton menerusi teks ucapan yang dibaca melalui telefon pintarnya.

Jelasnya, perbuatan mencium gitaris kumpulannya, Ross Macdonald bukanlah satu perkara yang disengajakan sebaliknya ia adalah sebahagian daripada pertunjukan pentas yang sering dilakukan dalam konsertnya sebelum ini.

"Saya cium Ross bukan untuk mencetuskan provokasi kerajaan, ia adalah sebahagian daripada pertunjukan pentas The 1975 yang telah dipersembahkan beberapa kali sebelum ini.

"Saya sangat terkejut rakyat Malaysia marah dengan tindakan itu dan menganggapnya sebagai persembahan pentas LGBT.

"Sebagai penghibur, kami hanya menjalankan tugas dalam persembahan dan itulah sebabnya penonton pergi ke konsert.

"Jika anda menjemput penyanyi dari barat, mereka sepatutnya dibenarkan membawa nilai barat ke negara anda," katanya.

Untuk rekod, Matt Healy didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), dan mencium gitarisnya.

Susulan insiden tersebut, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah mengarahkan pembatalan serta-merta baki festival tersebut yang sepatutnya berlangsung Sabtu sehingga Ahad, 23 Julai dan pihak penganjur juga telah dipanggil untuk memberikan keterangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram