[VIDEO] Penghantar barang online kena samun, maruah tergadai di tangan 3 pondan


  • Benua
  • Selasa, 10 Okt 2023

Tangkap layar tiga suspek lelaki transgender yang didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang penghantar barangan online di Kota Padang, Sumatera Barat, Indonesia.

SEORANG penghantar barangan online berdepan detik getir apabila disamun serta mengalami serangan seksual oleh tiga pondan di Kota Padang, Sumatera Barat, Indonesia pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Koto Tangah, Ajun Komisaris Polisi (AKP) Afrino berkata, mangsa ditahan selama lima jam dari pukul 10 pagi hingga 3 petang oleh ketiga-tiga suspek berkenaan.

Suspek yang merupakan transgender itu dikenali sebagai AP, 25, JN, 30, dan HS, 38, telah ditahan Polis Koto Tangah pada Sabtu malam.

Kronologi kes tersebut bermula apabila mangsa terlebih dahulu tiba di kediaman suspek untuk menghantar barangan yang dipesan iaitu sebuah telefon pintar.

Namun, dia kemudiannya diheret masuk ke dalam rumah dan dicederakan dengan beberapa peralatan tajam.

"Apabila sampai di lokasi dituju, mangsa ditarik dan didera menggunakan senjata gunting, kayu, pemutar skru dan batu.

"Menurut mangsa, ketiga-tiga suspek turut melakukan perbuatan gangguan seksual terhadapnya," katanya.

Bagaimanapun, pihak polis masih menunggu keputusan siasatan dan belum ada sebarang hukuman dijatuhkan kepada suspek ketika ini.

Terdahulu, sekumpulan pemandu teksi dan penunggang motosikal telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Koto Tangah selepas mengetahui salah seorang daripada suspek ditahan semasa bertugas sebagai pengacara di sebuah majlis.

"Penjenayah dikenali sebagai HS ditahan semasa sedang bekerja dan hasil soal selidik dijalankan mendapati dia mengaku salah atas kes penderaan dan gangguan seksual.

"Dua lagi suspek turut ditahan di lokasi berbeza dan mereka juga mengaku salah atas kesalahan dilakukan," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram